Exco seru atlet ping pong kebangsaan sertai APMG 2018 September ini

Admin
CHONG Eng (kemeja putih) bergambar kenangan bersama pelatih ping pong yang menggunakan kemudahan di PTTA baru-baru ini

PENGKALAN KOTA – Exco Pembangunan Wanita & Keluarga, Keterangkuman Gender dan Agama Selain Islam, Chong Eng mengajak jaguh-jaguh sukan ping pong (berusia 30 tahun ke atas) untuk berentap dalam temasya Asia Pacific Master Games (APMG) 2018 yang akan berlangsung pada 7 hingga 15 September ini.

Katanya, sehingga kini seramai 91 peserta dari 11 buah negara telah mendaftar diri untuk menyertai acara tersebut. 

Sasaran kita bagi sukan ping pong adalah 100 hingga 150 orang penyertaan… jadi saya seru jaguh-jaguh dan bekas atlet ping pong (tempatan) agar tampil untuk mendaftar dalam acara ini.

Kesempatan perlu diambil oleh rakyat Malaysia khususnya orang Pulau Pinang kerana ini mungkin satu peluang keemasan yang mungkin hadir sekali sahaja seumur hidup.

Anda berpeluang bertanding di peringkat antarabangsa dan… Pulau Pinang merupakan negeri pertama di Malaysia menganjurkannya,” ujar beliau dalam satu sidang media ketika melawat venue perlawanan ping pong di Gat Lebuh Macallum semalam.

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Kota, Daniel Gooi Zi Sen Naib Pengerusi PTTA, Dato’ Ang Aing Thye.

Penganjuran APMG kali ini akan melibatkan 22 acara dipertandingkan. 

Maklum Chong Eng lagi, antara peseerta luar negara yang bakal berentap adalah dari Australia, Rusia, Kanada, Switzerland, Mongolia, India, Sri Lanka, Jepun, Maldives dan Guam.

Bagi yang berminat untuk menyertai APMG 2018 boleh mendaftar di lama sesawang www.apmg2018.com atau datang terus ke pejabat APMG dekat Stadium Bandaraya.

Dalam pada itu, Aing Thye ketika berucap menyatakan orang Malaysia perlu merebut peluang ini berikutan harga yang ditawarkan adalah istimewa kepada warganegara.

RM190 adalah amat berbaloi dengan pulangan yang anda akan dapat seperti beg galas dan kemeja-t berbanding peserta luar yang perlu membayar 190 Dolar Amerika,” jelasnya lagi.

Pada sesi lawatan tersebut, Chong Eng dan delegasi APMG mengambil kesempatan melawat gelaggang pemanas badan tingkat satu dan gelanggang pertandingan di tingkat dua dekat bangunan PTTA di Gat Lebuh Macallum.

Oleh: WATAWA NATAF ZULKIFLI
Gambar: DARWINA MOHD. DAUD