Exco seru masjid bangunkan koperasi kariah sendiri

Admin

BATU MAUNG – Setiap masjid di negeri ini digalak membangunkan koperasinya sendiri dalam usaha memantapkan ummah, ekonomi, sosial dan budaya umat Islam.

Exco Perdagangan Antarabangsa & Dalam Negeri, Hal Ehwal Pengguna dan Pembangunan Keusahawanan, Dato’ Abdul Halim Hussain berkata daripada 207 buah masjid di Pulau Pinang, terdapat hanya 36 koperasi kariah masjid sahaja didaftarkan iaitu bersamaan 17 peratus.

Ekonomi orang Islam dapat dipertingkatkan jika ia digembleng dengan cara yang betul dan masjid boleh memainkan peranan sebagai lokasi ideal yang menemukan peniaga dan pelanggan.

Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) juga memberikan penekanan serius dalam membangunkan koperasi kariah dengan terbitnya Pelan Strategik Pembangunan Koperasi Kariah Masjid sebagai panduan, memberikan fokus kepada pemantapan perniagaan, pemerkasaan urus tadbir dan pengukuhan sistem penyampaian.

Hal ini kerana, koperasi kariah merupakan koperasi berasaskan komuniti yang ditubuhkan bertujuan untuk mengekalkan ukhwah di kalangan anggota komuniti melalui penglibatan dalam pelbagai bidang ekonomi yang mempunyai rantaian nilai dan yang pastinya berimpak tinggi.

Semoga perniagaan yang dijalankan secara koperasi ini dapat membantu meningkatkan sosio-ekonomi masyarakat dan komuniti setempat secara langsung dan sekaligus dapat meningkatkan perolehan dalam gerakan koperasi dan seterusnya menjadi penyumbang yang berkesan kepada ekonomi negara,” ujarnya yang merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Maung.

Terdahulu, pada 25 Disember 2018, dengan mengangkat tema ‘Muafakat Ke Arah Kesejahteraan’, Abdul Halim merasmikan Pasar Co-op V2 Hari Koperasi Kariah Bersama Komuniti di perkarangan Masjid Al-Huda, Sungai Ara di sini.

Program Pasar Co-op V2 Pulau Pinang anjuran bersama di antara Kerajaan Negeri, SKM dan Koperasi Kariah Masjid Al-Huda, Sungai Ara.

Hadir sama Pengarah Suruhanjaya Koperasi Malaysia Cawangan Negeri Pulau Pinang, Zakaria Mat Jusoh, Zainuddin Hanif (Pengerusi Masjid dan Koperasi Masjid Al-Huda, Sungai Ara) dan pendakwah selebriti, Imam Muda Asyraf.

Dalam pada itu, Zakaria ketika berucap memberitahu bahawa Pasar Co-op V2 Pulau Pinang diharap mendapat sambutan yang menggalakkan daripada masyarakat setempat dan menjadi pendorong kepada lebih banyak koperasi menyertainya pada masa hadapan selain menjadi platform untuk masyarakat setempat membeli barangan keperluan pada harga yang lebih murah.

Pada sudut impak ekonomi, perolehan pendapat koperasi kariah masjid dapat ditingkatkan dengan bertambahnya bilangan koperasi masjid yang menjalankan aktiviti perniagaan berlandaskan prinsip halalan toyyiban.

Dengan wujudnya koperasi di masjid-masjid juga, maka lebih banyak peluang pekerjaan dan perniagaan dapat disediakan kepada komuniti di samping mewujudkan peluang keusahawanan kepada komuniti terutamanya golongan B40,” jelasnya.