Exco seru rakyat membudayakan sukan sebagai gaya hidup harian

Admin

AIR ITAM – Demi menjamin kesihatan dan kecergasan sepanjang masa, rakyat Pulau Pinang diseru agar membudayakan sukan dalam kehidupan harian.

Seruan tersebut dibuat Exco Belia dan Sukan, Soon Lip Chee ketika hadir di Karnival Komuniti Bulan Sukan Negara Parlimen Bukit Gelugor 2019 di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Air Itam, semalam.

“Sukan bukanlah aktiviti yang hanya perlu dilakukan pada majlis khas atau tertentu semata-mata, sebaliknya ia boleh dijadikan aktiviti harian apabila mempunyai waktu lapang.

“Semua orang berhak memilih sukan yang diminati untuk diceburi tidak kira sama ada bola sepak, badminton, futsal, ping pong atau apa-apa jenis yang diminati asalkan anda bersukan.

“Dan seperti diketahui, 19 Oktober ini merupakan sambutan Bulan Sukan Negara yang bertujuan melahirkan kesedaran kepada semua lapisan masyarakat akan kepentingan bersukan,” jelasnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bagan Jermal.

Hadir sama, ADUN Air Itam, Joseph Ng Soon Siang; Pengetua bagi SMK Air Itam, G.Sangaranathan dan Pengerusi Persatuan Iltizam Pulau Pinang, Shameer Sulaiman.

Shameer ketika bercakap pada sidang media berkata pendaftaran akan dibuka seawal jam 7 pagi di SMK Air Itam.

“Antara acara menarik termasuklah Larian Komuniti Bulan Sukan Negara, pertandingan permainan beyblade, bola jaring, sukaneka, pertandingan mewarna, pertandingan push bike, tarik tali dan lain-lain lagi,” katanya.

 

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI

Gambar : ALISSALA THIAN