Exco seru rakyat sama-sama jaga 1.2 juta pokok ditaman sempena Hari Bumi 2024

Admin
photo 2024 05 28 23 05 13

TELUK BAHANG – Exco Perumahan dan Alam Sekitar, Dato’ Seri S. Sundarajoo menyeru penduduk negeri ini untuk bersama-sama menjaga sejumlah 1.2 juta pokok yang ditanam serentak sempena Sambutan Hari Bumi pada 22 April lalu.

 

Beliau berkata, usaha semua pihak yang menanam pokok-pokok tersebut terutamanya Yayasan Amal TYT Pulau Pinang sebagai penyelaras, para penyumbang, badan bukan kerajaan (NGO) serta rakyat keselurannya perlu dihargai demi kelestarian alam sekitar.

photo 2024 05 28 23 05 12

“Justeru, penghargaan ini haruslah ditunjukkan melalui penjagaan pokok-pokok yang ditanam ini agar terus hidup dan memberi manfaat kepada kita semua.

 

“Kerajaan Negeri turut merakamkan penghargaan kepada penyumbang-penyumbang, kanak-kanak sehingga warga emas yang telah membolehkan Pulau Pinang menanam 1.2 juta batang pokok pada 22 April lalu.

 

“Usaha ini telah menjadikan Pulau Pinang sebagai negeri pertama di negara ini yang telah diiktiraf dalam kategori berkaitan,” ujar Sundarajoo pada Majlis Apresiasi Program Penanaman Satu Juta Pokok Dalam Sehari Di Pulau Pinang Sempena Hari Bumi 2024 dekat Teluk Bahang semalam.

 

Yang Dipertua Negeri (TYT), Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak yang yang menanam pokok ke sejuta pada 22 April lepas hadir sebagai tetamu kehormat pada majlis tersebut.

 

Turut hadir, Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN), Dato’ Law Choo Kiang; Timbalan Ketua Menteri I, Dato’ Dr. Mohamad Abdul Hamid; Exco Perdagangan, Pembangunan Keusahawanan dan Luar Bandar, Rashidi Zinol; Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Rosli Isa dan Pengerusi Yayasan Amal TYT, Dato’ Seri Sr. Rozali Mohamud.

photo 2024 05 28 23 05 12 (1)

Susulan kejayaan program tersebut, Pulau Pinang telah menerima sijil pengiktirafan Malaysia Book of Records (MBOR) pada 22 April lalu.

 

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI

Gambar : SIEW CHIA EN