Exco seru usahawan perkasa pemasaran melalui platform e-dagang dan dalam talian

PULAU BETONG – Exco Perdagangan Antarabangsa & Dalam Negeri, Hal Ehwal Pengguna dan Pembangunan Keusahawanan, Dato’ Abdul Halim Hussain menyeru usahawan di negeri ini untuk memperkasakan pemasaran melalui platform e-dagang ataupun dalam talian.

Jelasnya, dewasa kini, pemasaran tersebut dilihat lebih berkesan dan efektif dalam memenuhi kehendak pelanggan terutamanya dalam kalangan generasi muda.

“Ada usahawan dan peniaga yang sudah berniaga 15 tahun datang mengadu sekarang ini mereka hilang pelanggan.

“Apabila kita ambil maklum hal ini… kita dapati pelanggan kini lebih bergerak kepada model pembelian dalam talian ataupun aplikasi-aplikasi pintar.

“Kalau tengok generasi 35 tahun ke bawah, mereka ini lebih gemar ikut apa yang trending di telefon mereka… mereka tidak perlu lagi untuk meredah kesesakan lalu lintas, mengambil masa yang lama mahupun keluar dari tempat kerja untuk pergi makan Cuma beli melalui dalam talian,” ujar beliau ketika berucap pada Majlis Penyerahan Skim Pinjaman Harapan (SPH) di Dewan Belora, Kongsi, Balik Pulau di sini semalam.

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pulau Betong, Mohd. Tuah Ismail; ADUN Teluk bahang, Zolkifly Md. Lazim; Pegawai Daerah bagi Daerah Barat Daya, Mohd. Hafiz Aswad Nadzri dan Penghulu bagi kawasan Balik Pulau, Mohd. Farouk Varusai Mohd.

Mengulas lanjut, beliau turut menyarankan usahawan dan penjaja kecil di astaka-astaka untuk menerokai pembuatan makanan yang lebih moden dalam memenuhi citarasa golongan sasar.

“Orang muda kadang-kadang kuih tradisional pun dah jarang makan, jadi saya beritahu mereka untuk cuba belajar benda baharu seperti kursus membuat pastri seperti di Kolej Komuniti dan sebagainya,” jelasnya yang juga ADUN Batu Maung.

Pada majlis tersebut, Abdul Halim menyampaikan cek replika kepada 12 orang usahawan sekitar DBD berjumlah RM99,000.

Pada hari sama, Abdul Halim dan rombongannya turut meluangkan masa melawat tiga peniaga pinjaman SPH yang lain.

Pengusaha SPA dan Salon Kecantikan Bidadari Walid, ROSHIDAH ABDUL AZIZ, menggunakan pinjaman SPH bagi membuat pusingan modal melalui pembelian katil baharu dan steamer.

“Alhamdulilah, SPH ini banyak membantu saya, jadi saya dapat tambahkan lagi barangan seperti katil dan steamer, tambahan pula pinjaman kali pertama ini tidak dikenakan sebarang bunga, jadi ia amat membantu kepada usahawan baru terutamanya,” jelasnya kepada Buletin Mutiara sambil bercerita bahawa peluang dalam bidang tersebut dilihat lebih baik daripada bidang makanan yang diusahakannya sebelum ini.

Turut dilawati adalah premis kedai buku dan alat tulis di Taman Seri Sayang milik ROSIAH SHAARI, 57.

“Dengan SPH ini mampulah tambah modal untuk tambah buku dan barangan lain dalam kedai ini.

“20 tahun lalu asalnya nak buka kedai CD (cakera padat), tetapi lepas difikirkan suami saya ini suka membaca, jadi kami tukar buka kedai buku, tetapi bila dah buka nak baca buku pun tak sempat,” seloroh beliau.

Seorang lagi usahawan makanan di Kuala Sungai Pinang, RAMLAH AHMAD, 43, yang merupakan peminjam PSH kali keempat.

“Pinjaman ini sudah kali keempat saya ambil, selalunya memang ambil untuk pusingan modal, naik taraf perniagaan atau tukar dan baiki peralatan-peralatan yang rosaklah, baru senang nak berniaga,” ujarnya yang memulakan perniagaan sejak tahun 2007 lagi.

Selain menjalankan perniagaan roti canai, Ramlah turut menjual mi rebus yang mendapat permintaan tinggi di kawasan ini.

 

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI

Gambar : LAW SUUN TING