Exco sifatkan pengecualian duti setem sebagai hadiah tahun baru untuk pembeli rumah pertama

Admin
rptoz_vivid

PANTAI JEREJAK – Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Perancangan Bandar & Desa, Jagdeep Singh Deo menyifatkan kenyataan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berhubung pengecualian duti setem kepada pembeli rumah pertama sebagai hadiah tahun baru 2019.

Beliau percaya, langkah tersebut adalah sebagai sebahagian usaha Kerajaan Persekutuan Pakatan Harapan membantu pembeli rumah pertama memiliki rumah.

“Ini (kenyataan) adalah hadiah tahun baru untuk pembeli rumah pertama, bukan sahaja di Malaysia malah di Pulau Pinang juga.

“Malah, langkah ini juga akan merangsang pasaran hartanah perumahan yang agak suram kebelakangan ini” ujarnya kepada pemberita selepas hadir merasmikan majlis penutupan acara berjalan, PEMENANG Fun Walk 2018 yang diadakan dekat Jalan Nibong di sini pagi ini.

Menurut Jagdeep, selaku Exco berwajib, beliau akan terus berusaha mencari penyelesaian bagi membolehkan rakyat Pulau Pinang memiliki rumah pertama mereka.

Dalam satu kenyataan semalam, Guan Eng sebagai dipetik berkata, seperti diumumkan melalui Belanjawan 2019 lalu, kerajaan Pakatan Harapan telah bersetuju untuk memberikan insentif pengecualian duti setem 100 peratus bagi pembelian rumah pertama.

Pembelian rumah pertama berharga sehingga RM300,000, duti setem dikecualikan bagi surat cara pindah milik dan perjanjian pinjaman dengan perjanjian jual beli perlu diselesaikan dalam tempoh 1 Januari 2019 sehingga 31 Disember 2020.

Manakala, rumah berharga RM300,001 hingga RM500,000, duti setem bagi surat cara pindah milik dan perjanjian pinjaman dikecualikan terhad kepada RM300,000 pertama daripada harga rumah tersebut dengan perjanjian jual beli perlu disempurnakan mulai 1 Julai 2019 hingga 31 Disember 2020.

Rumah berharga RM300,001 hingga RM1 juta pula, duti setem ke atas surat cara pindah milik yang dibeli daripada mana-mana pemaju perumahan adalah dikecualikan, bagi perjanjian jual beli yang diselesaikan mulai 1 Januari 2019 hingga 30 Jun 2019.

Teks & Gambar : AINUL WARDAH SOHILLI