Exco sokong lanjut tempoh pengecualian fi kelulusan hingga hujung tahun

Admin

GEORGETOWN – Tempoh pengecualian fi kelulusan yang sebelum ini diumum oleh Kerajaan Negeri Pakatan Harapan Pulau Pinang sehingga bulan Jun 2019, mungkin akan dilanjutkan sehingga akhir tahun.

Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Perancangan Bandar & Desa, Jagdeep Sigh Deo berkata bahawa langkah itu diharap akan merangsang lagi sektor perumahan dan hartanah di negeri ini.

“Jika anda sedar inisiatif sebegini bukan dilakukan oleh Kerajaan Negeri (Pulau Pinang) sahaja, juga di peringkat Persekutuan apabila Menteri Kewangan, Lim Guan Eng pada tahun lepas ada mengumumkan untuk enam bulan pertama (Januari hingga Jun 2019), duti setem akan dikecualikan bagi semua transaksi babit hartanah yang melebihi nilai RM1 juta.

“Inisiatif Persekutuan tersebut yang sepatutnya tamat pada bulan Jun ini jua dilanjutkan sehingga akhir tahun ini (31 Disember 2019)… apabila Menteri Kewangan mengumumkan perkara itu pada 19 Jun baru-baru ini.

“Di peringkat negeri sebagaimana anda tahu, Kerajaan Negeri membenarkan fi kelulusan yang melibatkan pembeli-pembeli asing (bukan warganegara) untuk enam bulan pertama tahun ini (2019) atas permintaan semua pihak yang berkepentingan.

“Selaras dengan inisiatif Kerajaan Persekutuan untuk memberangsangkan sektor perumahan, saya akan menyokong cadangan tempoh pengecualian fi kelulusan melibatkan pembeli asing dilanjutkan sehingga akhir tahun ini,’’ jelasnya yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pembersihan Proses Perolehan Perumahan (SPEC) pada sidang media di Komtar pada 2 Julai 2019.

Beberapa ahli jawatankuasa SPEC lain, Phee Boon Poh (Exco Kebajikan, Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar), Teh Lai Heng (Ahli Dewan Undangan Negeri, ADUN Komtar merangkap Setiausaha Politik Kepada Ketua Menteri), Azrul Mahathir Aziz (ADUN Bayan Lepas), A. Kumaresan (ADUN Batu Uban), Daniel Gooi Zi Sen (ADUN Pengkalan Kota), Ong Ah Teong (ADUN Batu Lancang) turut sertai sidang media tersebut.

Hadir sama, beberapa wakil Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (REHDA) serta peneraju syarikat-syarikat pemaju hartanah perumahan swasta lain.

Tambah Jagdeep, isu berbangkit ini telahpun dikemukakan dalam Mesyuarat Exco, semalam.

Beliau menyatakan bahawa pihaknya akan membangkitkan sekali lagi berhubung permohonan bertulis yang telahpun dibuat oleh Pengerusi Persekutuan Hartanah Antarabangsa Malaysia (FIABCI- Malaysia) Pulau Pinang, Tan Sri Datuk Alex Ooi dalam Mesyuarat Exco Kerajaan Negeri minggu ini.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : CHAN KOK KUAN