Oleh: WATAWA NATAF ZULKIFLI
GEORGE TOWN – Exco Hal Ehwal Agama, Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Abdul Malik Abul Kassim menyerahkan 15 peti petolongan cemas yang setiap satu bernilai RM570 kepada Sekolah St. Nicholas’.
Abdul Malik berkata, sumbangan peribadi berupa 15 first aid kit itu diharap dapat membantu pelajar-pelajar kategori orang kurang upaya (OKU) penglihatan di sekolah berkenaan.
“Saya sememangnya kerap melawat sekolah ini, oleh itu, saya ingin melihat perkembangan sekolah ini dan para pelatih di sini supaya ianya bertambah baik dari masa ke semasa,” ujar Abdul Malik yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Maung.
Sebelum itu, Pengarah Eksekutif St. Nicholas’, Danial Soon memaklumkan bahawa, sekolah itu memerlukan kira-kira RM2.5 juta setahun untuk kemudahan para pelajar OKU.
Justeru, beliau berharap lebih banyak pihak, khususnya badan korporat dan badan bukan kerajaan (NGO) tampil melakukan sumbangan amal demi masa depan pelajar-pelajar istimewa di sekolah berkenaan.
“Jika mereka mendapat peluang yang sama seperti pelajar normal yang lain, saya berasa mereka mampu mendapat pendidikan dan pekerjaan yang mempunyai nilai tinggi seperti di sektor korporat dan sebagainya dan tidak terhad kepada sektor-sektor tertentu sahaja.
“Ini turut dapat membantu mereka bebas dari segi masalah kewangan.
“Jika kami tidak mendapat sumbangan seperti (yang dilakukan Abdul Malik) ini, bermakna kami perlu bekerja keras sedikit untuk mencari dana bagi mendapatkan bantuan seperti hari ini,” ujar beliau.