GEORGE TOWN – Exco Agroteknologi & Keterjaminan Makanan dan Pembangunan Koperasi, Fahmi Zainol hari ini menerima kunjungan delegasi daripada Politeknik Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah (POLIMAS), Kedah di pejabatnya di Komtar.
Delegasi POLIMAS seramai 40 pelajar jurusan Diploma Pemasaran itu diketuai oleh Pensyarah, Mohd. Nazimi Zaim Ismail dan Borhannudin Ya.

Pada pertemuan tersebut, tumpuan diberikan pada pertukaran dan perkongsian pengalaman termasuk mengetahui tentang peranan dan fungsi seorang wakil rakyat serta Exco yang berada dalam pentadbiran kerajaan.
Fahmi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Jerejak turut menyeru agar lebih pelajar politeknik menceburi bidang pertanian moden dan pentadbiran awam demi kemajuan yang berterusan.
Malah, beliau juga menasihati ‘generasi satu minit’ supaya lebih berhati-hati dengan segala maklumat yang diterima dari platform media sosial.
“Semua informasi harus diteliti dan mengambil masa untuk berfikir sebelum membuat tindakan seterusnya,” ujarnya.

Salah seorang wakil pelajar, Muhammad Naufal Asrul Rashid ketika ditemui berkata, hasil pertemuan pada hari ini membolehkannya mengetahui tentang perancangan masa hadapan yang perlu diteliti dan diberikan pertimbangan sewajarnya terutama jika menjawat jawatan dalam pentadbiran kerajaan.
Seorang lagi pelajar, Norshazwin Mohd. Salleh, menzahirkan penghargaan kepada Pejabat Exco Agroteknologi & Keterjaminan Makanan dan Pembangunan Koperasi yang sudi menerima kunjungan delegasi POLIMAS serta berkongsi perjalanan kerjaya seorang wakil rakyat dan Exco.
Difahamkan, kesemua anggota delegasi POLIMAS dalam rangka lawatan akademik sambil belajar ke Pulau Pinang selama sehari.
Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI Gambar : LIM MIN JUN & EXCO