Exco tubuh jawatankuasa pulihara kem rekreasi

Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB

BAYAN LEPAS – Exco Perancangan Bandar & Desa dan Perumahan, Jagdeep Singh Deo menubuhkan satu jawatankuasa khas bagi memulihara fasiliti 15 tapak kem rekreasi yang dikenal pasti di negeri ini.

Beliau berkata, penubuhan jawatankuasa ini diharap kembali dapat menjadikan Pulau Pinang sebagai destinasi rekreasi perkhemahan pilihan bagi pertubuhan seragam serta rekreasi, sama ada di peringkat kebangsaan hatta antarabangsa.

“Kalau masih ingat, di Coronation Camp (dekat Air Itam) dulu diadakan Jambori Pengakap yang begitu besar tiap-tiap tahun.

“Jambori ini berjaya menarik penyertaan antarabangsa, bukan sekadar peserta Malaysia semata-mata.

“Jawatankuasa ini berasa kita perlu memulihara semula kesemua tapak kem di negeri ini supaya kembali memenuhi piawaian (perkhemahan rekreasi) antarabangsa,” ujar beliau pada satu sidang media di Taman Metropolitan Relau di sini baru-baru ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Bunga, Teh Yee Cheu dan Hilmy Sazlin Azny Abdul Aziz (Penolong Pegawai Daerah Timur Laut) turut menyertai sidang media itu.

Sebelum itu, mereka menyertai lawatan kerja Jagdeep di beberapa kem rekreasi berwajib sekitar negeri ini.

Jagdeep yang juga ADUN Datuk Keramat berkata, Yee Cheu, wakil Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) dan wakil Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) antara pihak yang menganggotai jawatankuasa tersebut.

Tambah beliau, wakil-wakil pertubuhan seragam seperti Pengakap, Pandu Puteri, Kelab Rekreasi dan beberapa pertubuhan belia berwajib turut dalam senarai yang sedang dipertimbang untuk menganggotai jawatankuasa itu.

Dalam perkembangan berkaitan, Jagdeep berkata, pihaknya akan meninjau infrastruktur rekreasi di Pulau Gedung Ubat, iaitu sebuah pulau kecil berdekatan Pulau Aman, Batu Kawan.

“Sungguhpun Pulau (Gedung Ubat) ini tiada dalam senarai yang dibekalkan kepada kita (Kerajaan Negeri), kita akan meminta mereka (Majlis Perbandaran Seberang Perai, MPSP) memberikan ulasan.

“Kalau sesuai untuk dinaiktaraf infrastuktur, kita (Kerajaan Negeri) akan menaiktaraf (fasiliti) di Pulau Gedung Ubat,” ujar beliau semasa menjawab soalan wartawan.

Difahamkan, Pulau Gedung Ubat tidak lagi diselenggara sejak beberapa tahun lepas selepas paip saliran yang membekalkan air bersih ke tapak kem rekreasi itu musnah akibat bencana.

Tapak kem rekreasi di Daerah Timur Laut yang dalam rancangan dipulihara antaranya Taman Belia, Empangan Air Itam, Taman Metropolitan Relau, Pulau Jerejak.

Tapak kem rekreasi di Daerah Barat Daya yang dalam rancangan dipulihara antaranya Pantai Acheh dekat Balik Pulau, Telok Tempoyak (Bayan Lepas), Air Putih (Balik Pulau) dan Anjung Indah (Jalan Tun Sardon), Gertak Sanggul (Bayan Lepas).

Tapak kem rekreasi di Daerah Seberang Perai Utara yang dalam rancangan dipulihara antaranya Taman Awam Vision dekat Kepala Batas dan Taman Rubina (Telok Air Tawar).

Tapak kem rekreasi di Daerah Seberang Perai Tengah yang dalam rancangan dipulihara antaranya Kem Cheruk To’ Kun dan Empangan Mengkuang.

Tapak kem rekreasi di Daerah Seberang Perai Selatan yang dalam rancangan dipulihara antaranya Taman rekreasi Bukit Panchor dekat Nibong Tebal dan Pulau Aman (Batu Kawan).