Exco umum tambahan nama tiga Ahli Majlis PBT baharu

Admin
Jason H'ng speaking at the press conference.

GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri Pulau Pinang menerima tiga pencalonan nama baharu daripada Parti Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO) bagi lantikan sebagai Ahli Majlis Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) Negeri sesi 2023/2024.

 

Exco Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar & Desa, H’ng Mooi Lye ketika mengumumkan perkara itu, memberitahu bahawa pelantikan tersebut adalah selaras peruntukan Seksyen 10 (1) Akta Kerajaan Tempatan 1976 dan Seksyen 10 (2) akta sama.

 

Lanjutan daripada Majlis Angkat Sumpah Ahli Majlis Pihak Berkuasa Tempatan yang diadakan pada 2 Oktober lepas, seramai 45 individu mewakili pelbagai parti politik dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dilantik.

 

“Pelantikan tersebut walau bagaimanapun masih tidak lengkap dan Kerajaan Negeri Pulau Pinang telah menerima tambahan tiga pencalonan nama baharu bagi Parti Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO) pada 2 Oktober lalu,” ujarnya pada sidang media yang diadakan di Komtar, awal pagi ini.

 

Hadir sama, Exco Perdagangan, Pembangunan Keusahawanan dan Luar Bandar, Rashidi Zinol; Exco Pembangunan Sosial, Kebajikan dan Hal Ehwal Bukan Islam, Lim Siew Khim dan beberapa Ahli Majlis bagi Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP).

 

Mereka yang telah diperakukan untuk dilantik ialah Ketua UMNO Bahagian Jelutong, Datuk Abdul Razak Abdul Rahman; Ketua UMNO Bahagian Batu Kawan, Datuk Mohd. Noor Ahmad dan Ketua UMNO Bahagian Tasek Gelugor, Dato’ Omar Abdul Hamid.

(Dari kiri); MOHD. Noor Ahmad, Omar Abd. Hamid dan Abdul Razak Abdul Rahman.

Menurut Mooi Lye, majlis angkat sumpah dan menandatangani pengakuan menerima jawatan akan diadakan pada 6 Oktober 2023 di Dewan Bandaraya dekat Jalan Padang Kota Lama bagi MBPP, manakala bagi Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) dijangka pada minggu ketiga Oktober susulan ketiadaan Datuk Bandar yang berada di luar negara atas urusan rasmi.

 

Dalam pada itu, ketika ditemui, Mohd. Noor menzahirkan penghargaan dan ucapan terima kasih atas pelantikan tersebut.

 

“Sebelum ini saya pernah dilantik sebagai Ahli Majlis bagi Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) pada 2002 sehingga 2008 dan mula terlibat dengan politik sejak tahun 1993 lagi.

 

“Saya berharap dengan pengalaman yang ada sebelum ini dapat membantu pembangunan di Seberang Perai,” katanya yang juga Ketua Penerangan UMNO Negeri Pulau Pinang.

 

Bagi Omar, beliau amat berterima kasih kepada Kerajaan Negeri kerana memberi kepercayaan kepada beliau.

 

“Saya bersyukur dan pastinya pengalaman selama lebih tiga dekad akan terus disumbangkan demi memastikan pembangunan negeri Pulau Pinang ke tahap yang tertinggi,” jelasnya yang merupakan mantan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pematang Berangan selepas menang pada Pilihanraya Umum Ke-13.

 

Nada sama turut disuarakan oleh Abdul Razak yang kini merupakan eksekutif di Tenaga Nasional Berhad.

 

“Buat masa ini kami masih belum apa-apa portfolio lagi dan pastinya matlamat saya adalah membantu MBPP menjadi pihak berkuasa tempatan terbaik.

 

“(Dan) pada masa yang sama bagi rakyat selesa dengan pihak berkuasa tempatan,” katanya.

 

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI
Gambar : SIEW CHIA EN