PANTAI JEREJAK – Exco Perdagangan Antarabangsa & Dalam Negeri, Hal Ehwal Pengguna dan Pembangunan Keusahawanan, Dato’ Abdul Halim Hussain yakin bahawa konsep francais merupakan kaedah terbaik dalam melahirkan lebih ramai usahawan yang berjaya dan berdaya saing.
Menurut beliau, dalam usaha membangunkan usahawan francais, agensi kerajaan berkaitan seperti Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) perlu melaksanakan lebih banyak program bimbingan dalam menggalakkan lebih ramai penyertaan umum.
“Program bimbingan ini termasuklah perkongsian ilmu, tawaran pembiayaan, khidmat nasihat dan latihan keusahawanan.
“Selain itu, francaisor yang telah kukuh di pasaran juga boleh membimbing dan membantu francaisi menceburi rangkaian perniagaan francais ini seiring dengan hasrat Kerajaan Negeri untuk melahirkan lebih ramai usahawan di negeri ini,” katanya ketika berucap sempena Majlis Perasmian Peluang Bizfrancais Pulau Pinang di sini baru-baru ini.
Hadir sama, Pengurus Besar PDC, Mohd. Bazid Abdul Kahar; Ketua Pegawai Operasi (Perniagaan) Perbadanan Nasional Berhad (PNS), Hassan Abdul Rahman dan Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Pulau Pinang, Mohd. Ridzuan Ab. Ghapar.
Dalam pada itu, Abdul Halim berharap agar program (Peluang Bizfrancais Pulau Pinang) ini dapat memberikan input mengenai peluang perniagaan francais dan juga program penjenamaan di bawah Business in Transformation (BIT) kepada para peserta.
“Begitu juga PNS selaku agensi yang bertanggungjawab membantu bakal usahawan dapat bersama-sama PDC mempromosikan perniagaan francais ini ke tahap yang lebih baik…sama seperti sebuah unit keluarga, selaras dengan visi Penang2030 yang menitikberatkan pembangunan kekeluargaan dalam semua aspek.
“Walaupun, PNS julung kali bekerjasama dengan PDC saya percaya para peserta dapat inspirasi untuk terus meneroka dengan lebih luas bidang perniagaan francais ini dan menjadi usahawan unggul pada masa hadapan,” ujarnya yang turut menzahirkan penghargaan kepada semua pihak terlibat dalam menjayakan program tersebut.
Genius Aulad, Chatime, Marrybrown, Laundrybar, Meiko, The Manhatttan Fish Market, MK Curtain, Gloria Jean’s Coffees dan Sugarbun antara usahawan francais yang turut mengambil bahagian dalam siri jelajah Peluang Bizfrancias kali ini.
Manakala bagi kategori syarikat BIT pra francaisor pula, yang mengambil bahagian adalah EZ Vending, Kepok Leko Qhetagih, Eyda Ice Cream, Jeruk Madu Perlis, NAB Industries, Teratak Spa, Salbira Cakes & Cookies dan Nyok.
Ayam Bismi, Asiawash, Kapokdesign dan Gatto Pet Centre antara syarikat pra francaisor yang turut serta.
Dalam majlis sama, Abdul Halim turut menyempurnakan penyerahan cek tawaran pembiayaan perniagaan berjumlah RM819,850 kepada empat usahawan terpilih bagi bahagian utara Semenanjung.
Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI Gambar : NUR AMIRAH HUSNA ROSLAN