Expert mula 26 September, PERDA sasar terima 75,000 pengunjung

Admin
14f98bdb 5141 4962 a492 a3b48e1b4ef0 SHAIK Hussein Mydin berucap dan menyempurnakan acara pra-pelancaran Ekspo Perda (Expert) Tahun 2024 di The Light Hotel, Seberang Jaya pada 18 Julai 2024.

SEBERANG JAYA – Edisi ketiga Ekspo Perda (Expert) Tahun 2024 yang akan diadakan di Midtown Perda, Kubang Menerong dekat Tasek Gelugor mulai 26 hingga 29 September depan menyasarkan transaksi jualan sejumlah RM1.7 juta serta penyertaan lebih 250 usahawan dengan kehadiran lebih 75,000 orang pengunjung.

Dalam majlis pra-pelancaran ekspo tersebut, Pengerusi Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang (Perda), Dato’ Ir. Dr. Shaik Hussein Mydin berkata proses jualan 252 tapak reruai mula dibuka pada Isnin depan (22 Julai 2024) dengan harga yang rendah, antara RM300 hingga RM600.

“Kita (PERDA) juga bekerjasama dengan TikTop Shop dan agensi-agensi (pemasaran digital lain) bagi membantu membantu usahawan-usahawan Bumiputera terutamanya di negeri Pulau Pinang.

“Terima kasih kepada TikTok Shop dan semua pempengaruh yang akan bersama-sama kita (Expert Tahun 2024) kerana zaman sekarang ini para usahawan bukan berniaga secara fizikal sahaja, tetapi secara dalam talian juga, untuk memastikan jumlah jualan bertambah.

“Matlamat untuk melahirkan lebih ramai usahawan (Bumiputera dan Melayu) dapat kita (PERDA) realisasikan dalam program Expert Tahun 2024 ini,” jelasnya dalam sidang media berkaitan di The Light Hotel, Seberang Jaya pada 18 Julai 2024.

Beliau turut memberitahu bahawa proses penjualan tapak reruai akan dibuka di PERDA, No. 1, Lorong Kampung Gajah 2, Jalan Kampung Gajah, Butterworth; mulai 10.00 pagi hingga 4.00 petang.

83e80b25 27c4 454b b1e6 0e1271ec42c0
ACARA perasmian majlis pra-pelancaran Ekspo Perda (Expert) Tahun 2024 di sini tadi.

Menjawab soalan pemberita, Shaik Hussein memberitahu bahawa edisi kedua Expert Tahun 2023 direkodkan menerima 60,000 orang pengunjung dengan transaksi jualan sejumlah RM1.5 juta.

Selain itu, beliau merakamkan penghargaan kepada Majlis Pembangunan Bumiputera Pulau Pinang (MPBPP) yang turut membantu PERDA dari segi kewangan serta kemudahan lain, bagi menjayakan ekspo kali ini.

Difahamkan, Perdana Menteri Ke-10 Malaysia, Dato’ Seri Utama Anwar Ibrahim sendiri dijadualkan menyempurnakan acara perasmian Expert Tahun 2024.

Selain gerai pameran produk keusahawan Bumiputera lokal dan luar bandar, ekspo selama empat hari tersebut turut menyediakan acara lain antaranya Jualan Agro Madani, Forum Seminar Usahawan Mahasiswa, Malam Selawat @ Expert Tahun 2024, Cat Grooming Show, Kejohanan Pickleball, PERDA Robotic Challenge, Pushbike Rakan Litar, Street Soccer, Kids Fashionista, larian ria, karnival kerjaya, Jualan Rahmah dan e-Games.

Dalam perkembangan lain, Shaik Hussein memberitahu bahawa PERDA ketika ini sedang berusaha melaksanakan projek pembinaan rumah mampu milik (RMM) dengan harga maksimum RM300,000 seunit di bahagian Pulau demi membantu kelompok Bumiputera dan Melayu meningkatkan pegangan hartanah mereka pada masa hadapan.

Menurutnya lagi, PERDA sedang berusaha untuk saling bekerjasama pihak Timbalan Ketua Menteri I, Dato’ Dr. Mohamad Abdul Hamid menerusi Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP), untuk melaksanakan projek pembinaan di atas tanah wakaf yang strategik di negeri ini.

“Kami (PERDA) nak cari jalan bagaimana untuk melaksanakan projek pembinaan rumah dengan skim sewa beli (RTO) yang bernilai RM300,000 (seunit).

“Memang sedang bincang dengan pihak bank, macam mana nak buat biar PERDA sahaja boleh buat (projek RMM dengan kaedah RTO) ini.

“(RTO) RM1,500 sebulan, selepas tempoh 30 tahun, rumah (RMM bernilai RM300,000 seunit) di bahagian Pulau itu milik mereka,” katanya lagi yang juga Timbalan Pengerusi Perhubungan Umno Negeri Pulau Pinang semasa meramaikan majlis pra-pelancaran Expert Tahun 2024 di sini sebentar tadi.

Turut berucap, Timbalan Pengurus Besar (Pengurusan) PERDA, Noor Hayati Ishak.

Hadir sama, Timbalan Pengarah Bahagian Penyelarasan Penyertaan Bumiputera Pulau Pinang (BPPBPP), Jabatan Perdana Menteri (JPM), Norhisham Ramli; dan Ketua Pegawai Operasi Perda Ventures Incorporated Sdn. Bhd. (PVISB), Noorkhaizan Mohd. Noor.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS