FAMA sasar wujudkan enam lagi pasar tani di Pulau Pinang

Admin

SEBERANG JAYA – Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) berhasrat untuk mewujudkan enam buah lagi pasar tani di Pulau Pinang pada tahun ini.

Pengerusinya, Datuk Sr. Ishak Ismail berkata, sehingga kini, Pulau Pinang mempunyai 18 buah pasar tani dengan nilai jualan dicatatkan sehingga Disember tahun lalu sebanyak RM11.9 juta membabitkan seramai 403 usahawan.

Senarai harga turut dipaparkan untuk memudahkan pengguna membuat pilihan.

“Kita (FAMA) sasarkan sebanyak enam buah lagi pasar tani baru iaitu di Taman Guar Perahu dekat Penanti, Taman Bertam Putra (Seberang Perai Utara, SPU) serta Flat Mutiara di Seberang Perai Selatan (SPS) selain di perkarangan tiga buah masjid iaitu di Masjid Seri Serdang (Kepala Batas), Masjid Sungai Jawi (SPS) dan Masjid Maqbul (Teluk Kumbar).

“Hal ini kerana, pada tahun ini pihak FAMA memperkenalkan konsep baru di seluruh Malaysia dengan membawa pasar tani dan kedai di dalam perkarangan kawasan masjid bagi mencapai beberapa objektif iaitu untuk memaksimumkan penggunaan ruang legar di seluruh masjid yang bukan hanya berperanan sebagai pusat ibadah tetapi juga pusat ekonomi,” ujarnya pada sidang media selepas merasmikan pembukaan Pasar Tani Masjid Bandar Perda dan Agrobazar K-Shopee dekat sini, pada 2 Februari lalu.

Mengulas lanjut, Ishak menjelaskan bahawa barangan yang dijual di pasar tani dekat perkarangan masjid jauh lebih murah antara 5 hingga 20 peratus berbanding harga di pasar awam biasa yang dilihat lebih menguntungkan pengguna termasuk penjual.

“Bagi pasar tani di perkarangan masjid kita adakan jualan ‘hotsale’ dan pemberian sayuran percuma selain barangan dalam bentuk pakej yang dijual dengan harga serendah RM5.

“Barang-barang boleh dijual dengan harga murah disebabkan usahawan-usahawan kita mengambil barang terus dari ladang yang dapat kurangkan penglibatan orang tengah yang mana langkah ini dapat meningkatkan pendapatan (usahawan) lebih 50 peratus.

“Justeru, kita (FAMA) berharap supaya masyarakat di kawasan sekitar mengambil peluang untuk dapatkan barangan dengan harga yang berpatutan ini di pasar-pasar tani seluruh negara,” ujarnya lagi.

Teks & Gambar : SUNARTI YUSOFF