FAP diharap terus main peranan bangunkan sukan bola sepak Pulau Pinang

Admin

GEORGE TOWN – Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berharap Persatuan Bola Sepak Pulau Pinang (FAP) dapat terus memainkan peranan dalam menaikkan imej sukan berkaitan termasuk futsal di negeri ini.

Menurut beliau, pencapaian pasukan futsal Pulau Pinang yang berada di kedudukan keempat pada Liga Futsal Kebangsaan merupakan suatu kejayaan yang amat baik.

 

“Malah, saya melihat penganjuran karnival  (futsal) seperti ini dapat mencungkil bakat-bakat baru untuk diketengahkan ke peringkat negeri.

 

“Adalah diharapkan FAP terus memainkan peranan dalam pembangunan bola sepak yang mana badan tersebut turut berperanan membangunkan sukan futsal,” ujarnya ketika merasmikan Karnival Sukan Futsal Parlimen Tanjong 2022 di sini sebentar tadi.

 

Karnival tersebut dianjurkan oleh Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Jalan Transfer dan Jalan Argyll bersama-sama FAP.

 

Hadir sama, Penghulu Kanan bagi Pejabat Daerah dan Tanah Daerah Timur Laut (DTL), Amiruddin Mohd. Kasim;  Timbalan Presiden FAP, Lau Keng Ee dan Pengerusi MPKK Jalan Argyll, Mak Tong Lee.

 

Selaras dengan pelancaran ❤️ Penang baru-baru ini, Kon Yeow turut berharap semua sektor termasuk sukan supaya bangkit semula selepas dua tahun dilanda pandemik COVID-19.

 

“Diharapkan ❤️ PENANG dapat semarakkan semangat sayangkan Pulau Pinang dalam apa yang dilakukan sama ada di tempat kerja mahupun di gelanggang futsal,” serunya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Komtar merangkap Ahli Parlimen Tanjong.

 

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI

Gambar : DARWINA MOHD. DAUD

Video : MUHAMAD AMIR IRSYAD OMAR