Farizan dilantik sebagai Ketua Pegawai Eksekutif PICSB

GEORGE TOWN – Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow hari ini mengumumkan pelantikan Dato’ Seri Farizan Darus sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Penang Infrastructure Corporation Sdn. Bhd. (PICSB) berkuat kuasa 3 Ogos 2020.

 

Pelantikan bagi tempoh selama dua tahun itu dipersetujui oleh Kerajaan Negeri Pulau Pinang melalui Lembaga Pengarah PICSB yang telah bersidang pada 15 Julai 2020.

 

Menurut Kon Yeow, pelantikan tersebut adalah sebagai sebahagian usaha Kerajaan Negeri dalam memastikan pelaksanaan Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang (PTMP) dapat diterajui dengan jaya dan berkesan.

 

Kerajaan Negeri berpandangan bahawa Yang Berbahagia Dato’ Seri Farizan merupakan calon yang kompeten untuk memegang jawatan berkaitan berdasarkan reputasi baik dan kejayaan beliau dalam aspek pengurusan serta pentadbiran.

 

“Kerajaan Negeri yakin bahawa keputusan pelantikan ini mampu memacu PICSB sebagai penggerak PTMP ke arah kecemerlangan dan mencapai tahap pelaksanaan terbaik sebagai sebuah pentadbiran yang Cekap, Akauntabiliti dan Telus demi masa depan negeri Pulau Pinang,” ujarnya sambil menzahirkan ucapan sekalung tahniah pada sidang media di Komtar hari ini.

 

Hadir sama, Timbalan Ketua Menteri II, Prof. Dr. P. Ramasamy; Exco Pembangunan Wanita, Keluarga, Keterangkuman Gender dan Agama Selain Islam, Chong Eng serta Exco Belia dan Sukan, Soon Lip Chee.

 

Dalam sidang media sama, Farizan merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Negeri dan Ketua Menteri atas kepercayaan yang diberikan.

 

“Saya yakin dengan kepercayaan yang diberikan ini, saya akan berusaha untuk memastikan Kerajaan Negeri mendapat faedah dan rakyat Pulau Pinang menerima manfaat,” katanya.

 

Sebelum ini Farizan pernah berkhidmat sebagai Pegawai Daerah di Pejabat Daerah dan Tanah sebelum menjawat jawatan sebagai Pengarah Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna di Kementeri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna dan sebagai Yang Dipertua Majlis Perbandaran Seberang Perai (kini dikenali sebagai Majlis Bandaraya Seberang Perai). Beliau juga pernah berkhidmat sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri di Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang sebelum bersara wajib pada November tahun lalu.

 

PICSB diperbadankan pada 9 Julai 2020 ditubuhkan bagi menerajui pelaksanaan PTMP termasuk pelaksanaan projek infrastuktur mega seperti Lebuhraya Pan Island Link 1 dan 2A; projek tambakan laut selatan Pulau Pinang (PSR), komponen Transit Aliran Ringan (LRT) serta projek tiga jalan utama dan terowong dasar laut.

 

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI
Gambar : ALISSALA THIAN