Fasa 1 projek bina Kompleks Sukan Pokok Sena telan belanja lebih RM1 juta – Ketua Menteri

Admin

PINANG TUNGGAL – Kerajaan Negeri melalui Perbadanan Stadium Dan Kawasalan Lapang Pulau Pinang (PSDKLPP) melaksanakan fasa pertama pembinaan projek pembinaan Kompleks Sukan Pokok Sena di Taman Sena Permai dekat Kawasan Parlimen Tasek Gelugor.

KETUA Menteri

Semasa mengumumkan perkara itu, Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata bahawa pelaksanaan projek yang menelan belanja lebih RM1 juta tersebut mengambil kira sebidang tanah berkeluasan 32,364 meter persegi atau lapan ekar yang telahpun diwartakan untuk pembangunan sebuah kompleks sukan pada tahun 1992.

“Didapati ada satu tanah yang sememangnya sudah diwartakan sebagai kompleks sukan tetapi dalam tempoh selama 30 tahun tidak diusahakan.

“Setelah dapat tahu perkara ini, PSDKLPP memulakan inisiatif membangunkan tanah ini sesuai dengan tujuan asal iaitu sebuah kompleks sukan untuk komuniti (setempat)

“Dan, ianya tidak menelan bajet yang amat besar, misalnya fasa 1 kira-kira satu juta lebih (Ringgit), diharap fasa dua dan fasa tiga juga boleh dilaksanakan dalam tempoh yang terdekat,” jelasnya semasa majlis pecah tanah projek tersebut di sini pada 29 Oktober 2022.

Di samping itu, Kon Yeow yang juga Exco Pembangunan Tanah & Ekonomi dan Komunikasi memberitahu bahawa dalam fasa pertama daripada keseluruhan tiga fasa projek pembangunan kompleks sukan komuniti tersebut adalah terdiri daripada sebuah padang bola sepak mengikut piawaian Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA), trek joging, sebuah dewan yang dilengkapi kemudahan gelanggang badminton tertutup dan kawasan parkir awam.

Pada kesempatan sama, beliau turut merakamkan penghargaan kepada Pegawai Daerah Seberang Perai Utara (SPU), Zulkifli Rashid kerana mengetengahkan syor supaya dibangunkan projek asal kompleks sukan komuniti di atas tanah lot 4377 Mukim 12 Daerah SPU.

Buletin Mutiara difahamkan fasa satu projek infrastruktur awam tersebut telahpun dimulakan dengan tahap kemajuan semasa adalah sebanyak 35 peratus kini.

Sementara itu, Exco Belia dan Sukan, Soon Lip Chee menyatakan bahawa pihaknya berharap dengan pelaksanaan projek tersebut sekali gus menyumbang kepada agenda pembangunan bola sepak negeri terutama di daerah SPU.

“Terima kasih kepada YAB Ketua Menteri kita kerana menyokong untuk mewujudkan suatu lagi (kemudahan) tambahan (padang) bola sepak yang boleh menyumbang kepada agenda pembangunan bola sepak negeri Pulau Pinang,” ujarnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bagan Jermal.

Timbalan Ketua Menteri I, Dato’ Ir. Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman yang juga ADUN Pinang Tunggal; Pengarah Eksekutif PSDKLPP, Zul Kahar Khamis dan Pengarah Majlis Sukan Negeri Pulau Pinang (MSNPP), Harry Chai Heng Hua turut sertai majlis pecah tanah projek tersebut.

Oleh : ZAINULFAQAR BIN YAACOB
Gambar : AHMAD ADIL MUHAMAD
Video : DARWINA MOHD. DAUD