Fasa 1 rejuvinasi Sia Boey simbol warisan George Town dipulihara

Admin

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : NUR AFIQAH ZAINUDI

GEORGE TOWN – Tapak pasar lama Sia Boey yang mempunyai nilai warisan sejarahnya tersendiri akan diremajakan semula dengan pelbagai kemudahan moden,  sebagai kesinambungan terhadap langkah pemeliharaan dan pemuliharaan Warisan Dunia UNESCO George Town.

Mantan Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng memberitahu, fasa pertama projek rejuvinasi itu yang menelan belanja kira-kira RM6 juta hanya melibatkan kerja-kerja pemuliharaan pasar lama Prangin serta menaik taraf landskap di tapak asal warisan di sini.

“Fasa pertama ini dijangka siap pada Ogos tahun ini (2018), selepas itu fasa dua projek pula untuk pemuliharaan rumah kedua dan menaik taraf landskap sekitar kawasan ini.

“Sia Boey yang ‘dihidupkan semula’ adalah selaras dengan penyenaraian Tapak Warisan Dunia UNESCO George Town, selain untuk memberi nafas baru kepada sekitar kawasan Komtar (dalam) fasa lima, pasar raya 1st Avenue dan pasar raya Prangin, ke arah menjadikan negeri ini sebagai pusat sosial budaya dan pusat perniagaan,” jelasnya.

Beliau yang juga mantan Exco Hal Ehwal Tanah & Pembangunan Tanah, Penerangan, Kebudayaan & Kesenian, Warisan dan Hal Ehwal Bukan Islam berkata demikian pada Majlis Peluncuran Projek Rejuvinasi Sia Boey di sini 25 Mac lepas.

Hadir sama, mantan Timbalan Ketua Menteri I, Dato’ Mohd. Rashid Hasnon; Timbalan Ketua Menteri II, Prof. P. Ramasamy; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Komtar, Teh Lai Heng; Pengurus Besar Perbadanan Warisan Dunia George Town (GTWHI), Dr. Ang Ming Chee dan Datuk Bandar Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Ar. Yew Tung Seang.

Guan Eng memberitahu, serentak dengan majlis peluncuran projek rejuvinasi tersebut, suatu pameran awam mengenai konsep penaiktarafan akan dibuat secara terbuka selama dua minggu di sini.

Tambahnya, Sia Boey akan diremajakan semula sebagai taman bandar yang sarat dengan nilai warisan, yang sudah tentu akan menggamit kembali kenangan pengunjung pada Sia Boey dalam era 1850-an dengan pelbagai perayaan ritual seperti Festival Hantu Lapar dan sebagainya.