PULAU BETONG – Rata-rata warga emas yang menerima suntikan vaksin menyatakan keyakinan dan kegembiraan masing-masing ekoran menjadi antara penerima awal pada Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan Fasa 2 peringkat negeri hari ini.
Bagi CHIN FUNG CHEE, 82, orang ramai tidak perlu bimbang atau takut untuk menerima suntikan vaksin COVID-19 kerana ia adalah sangat mustahak sebagai pelindung diri.
“Tidak payah takut, apa yang kerajaan minta buat kita (rakyat) ikutlah kerana saya tidak rasa seruan kerajaan untuk rakyat menerima suntikan vaksin adalah sesuatu benda yang tidak bagus, sebaliknya ia untuk melindungi kita,” ujarnya yang hadir ditemani anak lelakinya, Chin Yin Loon, 50, di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Daerah Barat Daya (DBD) dekat Kompleks Sukan Balik Pulau di sini sebentar tadi.
Bagi Yin Loon yang merupakan seorang petugas barisan hadapan di sektor kesihatan dan telahpun menerima suntikan vaksin berkenaan berkata, kebanyakan rakyat menjadi takut sebab dimomokkan dengan berita palsu.
“Berita palsu ini perlu ditapis, dan tindakan Ketua Menteri yang sentiasa turun padang serta menyokong rakyat dalam apa jua aktiviti adalah langkah bertepatan agar rakyat lebih faham bahawa vaksin ini adalah tidak merbahaya,” ulasnya.
LATIFAH ABDULLAH, 82, yang juga antara 296 penerima vaksin tidak menafikan bahawa pada peringkat permulaan timbul juga perasaan takut, namun dengan penjelasan yang menyeluruh ia telah membuatkan beliau yakin.
“Mula-mula tak nak ambil takut juga sebab kita tidak tahu vaksin itu macam mana, beri kesan apa tapi bila ada penjelasan oleh anak, oklah setuju saja dan dia pun daftarkan makcik,” ujarnya.
Manakala, bagi WONG PEH HOE, 82, mengucapkan terima kasih kepada Ketua Menteri yang hadir memberikan semangat buat warga emas menerima vaksin hari ini.
“Jangan takut sebab vaksin ini dapat lindungi diri kita dan keluarga… terima kasih Ketua Menteri datang bagi sokongan kepada kami,” jelasnya teruja.
Difahamkan bahawa PPV Kompleks Sukan Balik Pulau mampu memberikan suntikan kepada 600 penerima vaksin setiap hari yang mana hari ini seramai 320 warga emas berusia antara 69 hingga 94 tahun telah diberikan temu janji, namun hanya 296 yang bersetuju untuk hadir serta menerima suntikan.
Terdahulu Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow sambil diiringi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bayan Lepas, Azrul Mahathir Aziz; Mohd. Hafiz Aswad Nadzri (Pegawai Daerah Barat Daya, DBD); Nazrul Fazami Mohamad (Pengarah Keselamatan Negeri Majlis Keselamatan Negara Negeri Pulau Pinang) dan Dr. Fazilah Mydin (Pegawai Kesihatan Daerah) hadir ke Kompleks Sukan Balik Pulau bagi memantau perjalanan operasi hari kedua PPV berkaitan.
Kon Yeow ketika ditemui menzahirkan harapan agar pemberian vaksin Fasa 2 tersebut berjalan lancar dan dapat meningkatkan keyakinan rakyat.
“Semoga rakyat dapat melihat keikhlasan program imunisasi ini yang mana semua petugas (kesihatan) tampil dengan semangat untuk membantu rakyat mendapatkan suntikan vaksin.
“Di Pulau Pinang, kadar pendaftaran masih berjalan seperti biasa, dan semoga Fasa 2 ini akan memberikan kesedaran awam yang lebih tinggi untuk semua mendaftar.
“Di samping itu, segala maklum balas yang diterima pada program Fasa 2 ini akan diperhalusi serta digunakan oleh Jawatankuasa COVID-19 Kebangsaan bagi melihat langkah yang sewajarnya agar mencapai sasaran dan seterusnya membentuk imuniti kelompok,” ulasnya.
Sejurus itu, Kon Yeow turut meluangkan masa berkunjung dan menyantuni para penerima vaksin di PPV Dewan Serbaguna Jawi di Seberang Perai Selatan (SPS). Berdasarkan rekod seramai 690 penerima akan divaksin hari ini.
Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Tambun, Goh Choon Aik; ADUN Jawi, Jason H’ng Mooi Lye; ADUN Sungai Bakap, Dato’ Dr. Amar Pritpal Abdullah; Ahli Parlimen Batu Kawan, P. Kasthuriraani dan Pegawai Daerah bagi Daerah Seberang Perai Selatan (SPS), Marlia Mohd. Belia.
Oleh : NORSHAHIDA YUSOFF & WATAWA NATAF ZULKIFLI
Gambar : ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI & MUHAMAD AMIR IRSYAD OMAR
Video: CHAN KOK KUAN