Fasa peralihan ke endemik belum nampakkan perubahan ketara, kata responden

Admin

SELEPAS dua tahun berperang dengan COVID-19, kini rakyat Malaysia boleh kembali menjalani kehidupan hampir normal selepas negara memasuki fasa peralihan ke endemik bermula 1 April 2022.

Fasa peralihan ini menyaksikan pelbagai sekatan yang dikenakan oleh pihak berkuasa dilonggarkan semula termasuk solat berjemaah di masjid dan surau dengan saf dirapatkan serta had waktu beroperasi bagi premis perniagaan juga dimansuhkan.

Selain itu, fasa ini turut menyaksikan pintu sempadan antarabangsa negara dibuka semula kepada pengembara asing bagi merancakkan semula sektor pelancongan yang terjejas teruk sebelum ini.

Walau bagaimanapun, arahan pemakaian pelitup muka di tempat-tempat awam masih berkuatkuasa manakala pendaftaran kemasukan menggunakan aplikasi MySejahtera juga masih diwajibkan.

Namun begitu, kelonggaran yang diberikan dalam fasa peralihan ini pastinya memberi kelegaan kepada banyak pihak khususnya peniaga kecil, pemain industri pelancongan, pengusaha perkhidmatan pengangkutan dan lain-lain lagi.

Mohamad Shahimi Hadzri.

Bagi Yang Dipertua Persatuan Pemandu Teksi dan Pemandu Kereta Sewa Pulau Pinang, MOHAMAD SHAHIMI HADZRI, pada masa ini jumlah pengguna perkhidmatan teksi dan kereta sewa masih lagi rendah.

Walau bagaimanapun katanya, beliau optimis bahawa keadaan akan bertambah baik dengan kehadiran pelancong asing tidak lama lagi memandangkan pintu sempadan antarabangsa sudah dibuka semula.

“Sebenarnya semasa pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) baru-baru ini, banyak pemandu teksi telah beralih ke bidang lain seperti berniaga dan bekerja dalam perkhidmatan penghantaran untuk meneruskan kelangsungan hidup masing-masing.

“Sekarang keadaan bertambah baik tetapi bukanlah pulih 100 peratus seperti semasa sebelum pandemik kerana perkhidmatan teksi berdepan dengan pelbagai persaingan terutamanya daripada e-hiling.

“Harapan kami buat masa ini adalah supaya Terminal Swettenham Pier Cruise dapat beroperasi semula kerana kebanyakan pelanggan kami terdiri daripada pelancong asing yang masuk melalui kapal persiaran,” ujarnya kepada Buletin Muitara ketika dihubungi sebentar tadi.

Ch’ng Huck Theng.

Presiden Persatuan Tarikan Pelancong Pulau Pinang (ATAP), CH’NG HUCK THENG pula berkata kehadiran pelancong domestik ke Pulau Pinang meningkat 15 hingga 20 peratus selepas pelaksanaan Program Laluan Perjalanan Lengkap Vaksin (VTL) sebelum ini.

“Oleh itu, kita menjangkan kehadiran pelancong ke negeri Pulau Pinang akan meningkat kepada kira-kira 25 peratus tidak lama lagi kerana pelancong asing sudah mula dibenarkan masuk ke negara ini.

“(Dan) saya percaya bahawa kita akan dapat melihat prospek yang lebih baik lagi pada masa akan datang,” katanya ketika dihubungi.

Pada masa sama katanya, industri pelancongan khasnya di Pulau Pinang sedang berdepan masalah kekurangan tenaga kerja kerana kebanyakan pekerja di sektor pelancongan telah beralih ke bidang pekerjaan lain ketika pelaksanaan PKP.

“Walaupun Kerajaan Negeri telah memperkenalkan pelbagai inisiatif untuk mengatasi masalah ini termasuk menganjurkan ekspo ‘Jom Cari Kerja, namun peranan pihak swasta juga amat penting.

“Dalam hal ini, pihak swasta dan Kerajaan Negeri perlu bekerjasama untuk menjadikan Pulau Pinang sebagai syurga kerja sekali gus memacu semula sektor pelancongan negeri,” sarannya lagi.

Abdul Wahab Adzmi.

Pengurus acara (bahagian teknikal) sebuah syarikat swasta, ABDUL WAHAB ADZMI berkata penganjuran program-program berskala besar sudah dibenarkan dengan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

“Memandangkan syarikat kami banyak terlibat dalam penganjuran acara-acara berskala besar yang memerlukan penyertaan fizikal, maka perkembangan ini sudah pasti sangat menggembirakan.

“Sekarang kami sedang sibuk melakukan persiapan bagi acara-acara besar yang bakal berlangsung tidak lama lagi.

“Harap ia dapat membantu syarikat untuk menjana semula pendapatan selepas dua tahun bergelut dengan masalah kewangan akibat pandemik COVID-19,” katanya yang kini sedang melakukan persiapan bagi penganjuran jelajah berbasikal terulung negara, Le Tour de Langkawi (LTdL).

K. Rajendran.

Pemilik premis perniagaan Maya Silk, K. RAJENDRAN ketika ditemui dekat Little India memberitahu bahawa minggu pertama fasa peralihan ke endemik masih belum menampakkan perubahan yang ketara bagi sektor perniagaan.

“Aktiviti perniagaan masih perlahan kerana tidak ramai pelancong asing yang kelihatan di kawasan Little India… jadi kita akan lihat mungkin berlaku peningkatan (pelanggan) dalam sedikit masa lagi,” ujarnya ringkas.

Sementara itu, Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Pulau Aman, SAIBI ABDUL MAJID berkata kelibat beberapa pelancong asing dan domestik sudah mula kelihatan di Pulau Aman ketika ini.

Saibi Abdul Majid.

Saibi berkata, dengan peralihan fasa ke endemik dan rancangan penaiktarafan Jeti Batu Musang, beliau yakin aktiviti pelancongan di pulau yang kaya dengan khazanah alam itu akan kembali rancak dalam sedikit masa lagi.

“Walaupun pintu sempadan sudah dibuka tetapi sekarang kehadiran pelancong tidaklah ramai seperti sebelum ini kerana mungkin kita sudah memasuki bulan Ramadan.

“Justeru, saya menjangkakan selepas sambutan hari raya Aidilfitri nanti kedatangan pelancong ke sini akan meningkat terutamanya dari luar negara.

“Beberapa peremis perniagaan di sini juga nampaknya sedang bersedia untuk memulakan semula aktiviti perniagaan untuk menyambut kedatangan pelancong,” jelasnya lagi.

Oleh : SUNARTI YUSOFF

Gambar : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS