Fasiliti sukan di setiap KADUN ikut keperluan, permintaan setempat – Exco 

Admin

SERI DELIMA – Setiap Kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) di negeri ini memerlukan fasiliti sukan mengikut keperluan dan permintaan masyarakat setempat.

 

 

Exco Belia dan Sukan, Soon Lip Chee berkata, sekiranya perkara itu direalisasikan maka setiap perbelanjaan yang diperuntukkan oleh Kerajaan Negeri tidak terbazir atau hanya menjadi projek ‘gajah putih’.

 

 

“Setiap kawasan mempunyai permintaan dan minat terhadap sukan yang berlainan, mungkin ada (majoriti masyarakat) di KADUN yang meminati petanque, ada meminati sepak takraw dan lain-lain jenis sukan lagi.

 

 

 

“Saya ambil contoh di Pongsu Seribu, Kepala Batas yang mana saya dapat permintaan untuk mendirikan gelanggang sepak raga tuju,” ujarnya kepada pemberita ketika mengadakan lawatan ke gelanggang sepak takraw, futsal dan taman permainan yang siap dibina di Persiaran Sungai Gelugor, di sini tengah hari tadi.

 

 

Hadir sama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Delima, Syerleena Abdul Rashid; Ahli Majlis bagi Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Muhamad Khairul Mohd. Ali dan Penghulu Pejabat Daerah dan Tanah bagi Daerah Timur Laut (DTL), Nasrizal Nasib.

 

 

 

Mengulas lanjut, Lip Chee memaklumkan bahawa Kerajaan Negeri telah membina 27 kemudahan sukan baharu dan menaik taraf 35 kemudahan sukan dan rekreasi sejak tahun 2020 dengan dana RM1.5 juta.

 

 

 

“Maka, (inisiatif Kerajaan Negeri) adalah bersesuaian dengan moto ‘Sukan Untuk Semua’ sebenarnya, bukan sahaja mengadakan program pembangunan dan penjanaan atlet malah turut melibatkan pembangunan fasiliti sukan di Pulau Pinang,” katanya.

 

 

 

Difahamkan, antara projek yang kini dalam perancang untuk dibangunkan adalah termasuk gelanggang bola jaring di kawasan Parlimen Bukit Gelugor; gelanggang sukan kabadi dekat Majlis Sukan Negeri Pulau Pinang (MSNPP) serta gimnasium rakyat berkonsep kontena.

 

 

Sementara itu, Syerleena ketika berucap memaklumkan bahawa kerja-kerja menaik taraf fasiliti dan taman permainan di Sungai Gelugor melibatkan peruntukan sebanyak RM129,741.40.

 

 

“Bagi kerja-kerja membaiki gelanggang futsal, kos pembaikan adalah sebanyak RM49,976.97 (siap 15 Oktober), manakala bagi kerja-kerja naik taraf gelanggang sepak takraw RM49,824.62 (siap 22 November) dan kos taman permainan adalah RM29,939.81 (siap 3 November).

 

 

“Saya juga mengambil kesempatan ini untuk memaklumkan bahawa sebuah dewan komuniti di Persiaran Sungai Gelugor 2 akan dijadikan sebagai Pusat Pembangunan Belia Seri Delima.

 

 

“Kerja-kerja pengambilalihan sedang dibuat dan rancangan pembangunan dewan ini akan dimulakan pada awal tahun hadapan bersama dengan pembukaan gimnasium rakyat bersebelahan gelanggang futsal menggunakan peruntukan Kerajaan Negeri,” jelasnya.

 

 

 

 

Teks & Gambar : WATAWA NATAF ZULKIFLI