Fenomena ‘angin selatan’ dorong ombak besar di Pantai Teluk Bayu

Admin
cf35e9b7 e9bf 41fe ac50 2da33f733245

PADA hujung minggu lalu, kejadian ombak kuat di Pantai Teluk Bayu, Sungai Batu menjadi tular susulan hantaran yang dimuat naik oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bayan Lepas, Azrul Mahathir Aziz di laman Facebook milik beliau.

Rentetan kejadin tersebut, penulis Buletin Mutiara, WATAWA NATAF ZULKIFLI dan jurugambar, DARWINA MOHD. DAUD turun ke lokasi tengah hari tadi untuk mendapatkan respons peniaga dan pengunjung setempat mengenai kejadian tersebut.

72ec85e0 c4ba 4777 bd68 c66cd863bc79

Peniaga di Pak Tam Mee Udang, ROSNIDA CHE ANWAR, 35, memberitahu bahawa fenomena tersebut merupakan perkara biasa bagi kebanyakan penduduk setempat apabila tiupan ‘angin selatan’ terjadi.

“Fenomena ini memang biasa terjadi apabila tiba musim yang mana kami orang tempatan panggil sebagai ‘angin selatan, dan kerjadian ini sebenarnya berlaku diseebabkan oleh angin bukannya ombak.

“Apabila angin menolak ombak, itu yang nampak seolah-olah berlaku ombak besar, namun pengunjung masih perlu berhati-hati dan elakkan berada berdekatan dengan kawasan pantai.

“Sebenarnya orang ramai masih lagi boleh bersantai-santai di kawasan ini kerana ombak tidaklah sampai ke atas macam air pasang besar,” ujarnya kepada Buletin Mutiara.

Adik Rosnida, BADRUL IMAN CHE ANWAR, 25, pula berkata apa yang dibimbangkan adalah sampah hanyut yang dibawa bersama ombak yang dikhuatiri boleh mencederakan pengunjung.

“Selain itu, obor-obor pun boleh jadi ancaman kalau angin kuat, arus laut memungkinkan hidupan laut itu hanyut ke tepi pantai dan membahayakan pengunjung,” jelasnya yang membantu perniagaan di situ.

Tambah Badrul Iman, setakat masih tiada sebarang kejadian yang boleh meragut nyawa pernah berlaku di pantai berkenaan berikutan keadaannya yang mendatar dan ombak yang lebih tenang.

“Kalau di lombong bersebelahan ini banyaklah kes kematian, terutamanya yang hendak mengambil bola terjatuh, lombong ini lebih bahaya,” maklum beliau lagi.

Dalam kejadian 21 Julai itu, pihak polis dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia mengambil tindakan pantas turun ke Teluk Bayu bagi melarang pengunjung untuk mandi-manda di kawasan tersebut.

 

c924683b 0396 44c4 94a2 a8522a010257

Pemancing, AZMI ZAINUDDIN, 50-an, mengakui bahawa keadaan ombak pada hari ini juga sedikit kuat disebabkan oleh tiupan angin.

“Kalau ombak kuat kena berhati-hatilah, walaupun sekadar memancing, terutamanya kalau ada kanak-kanak, mereka ini selalu fikir hendak seronok sahaja,” katanya yang datang memancing bersama-sama keluarga dari Kulim, Kedah.

974e59c8 30a2 41a9 b8be c1048ad7ebbb


Nada sama turut disuarakan oleh ZAINI ABDULLAH, 50-an, yang memberitahu bahawa keadaan angin dan laut sedikit bergelora di Teluk Bayu ketika ini.

“Kalau ada budak-budak mandi-manda saya akan tegurlah, bahaya juga tengok ombak macam ini.

“Tetapi hari ini mungkin hari biasa, jadi tidak adalah yang mandi,” ujarnya yang berasal dari Bayan Baru.

 

c2957b09 20ea 405a b2eb f0d256223062

Seorang lagi pengunjung, SALMAH SHAARI, 50-an, yang menggunakan peluang masa bercuti untuk memancing bersama-sama keluarga tidak mengetahui tentang peristiwa tersebut.

“Mungkin terlepas pandang daripada berita tersebut, tetapi kalau jadi fenomena semacam itu, elakkanlah berada di tepi pantai,” nasihat beliau kepada pengunjung terutamanya yang membawa anak-anak kecil.