Feri “Bagan” jadi ikon pelancongan baharu Butterworth

Admin
fb img 1736926691362

BAGAN DALAM – Replika animasi feri “Bagan” yang dibangunkan dengan kos kira-kira RM120,000 bakal menjadi ikon pelancongan baharu bagi kawasan Butterworth dan Seberang Perai amnya.

Ahli Parlimen Bagan, Lim Guan Eng berkata selain bentuknya yang menarik, feri “Bagan” yang ditempatkan di Padang Haji Ahmad Badawi turut dilengkapi dengan sistem pencahayaan untuk membolehkan pelancong melawat dan bergambar pada waktu malam.

“Feri “Bagan” dijangka dapat membantu membangunkan lagi sektor pelancongan di Seberang Perai untuk menarik kehadiran pelancong sempena Tahun Melawat Malaysia 2026.

“Seperti yang sedia maklum, Seberang Perai kini semakin berkembang pesat terutamanya dalam sektor perindustrian, ekonomi dan perdagangan tetapi bagi sektor pelancongan masih banyak usaha perlu dilakukan.

“Justeru, matlamat kami kini adalah untuk menjadikan Seberang Perai, khasnya Butterworth sebagai lokasi pelancongan menarik yang bukan sahaja mampu menarik kehadiran pelancong domestik tetapi juga antarabangsa,” katanya dalam cacatan di Facebook.

Guan Eng berkata, beliau juga telah mengadakan perbincangan bersama-sama Exco Pelancongan dan Ekonomi Kreatif, Wong Hon Wai dalam usaha merancakkan lagi aktiviti pelancongan di Butterworth sekali gus menjadi lokasi yang wajib dilawati oleh pelancong.

“Dengan adanya hotel lima bintang pertama, Crowne Plaza di Butterworth serta beberapa lagi projek yang diluluskan oleh Kerajaan Persekutuan ada masa akan datang, jumlah kehadiran pelancong ke kawasan ini dijangka akan meningkat.

“Tambahan pula, pada masa akan datang Seberang Perai dijangka menerima kemudahana pengangkutan awam terutamanya Transit Aliran Ringan (LRT) Laluan Mutiara dan Pusat Transformasi Bandar (UTC) dan lain-lain lagi,” ujarnya.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bagan Dalam, K. Kumaran memberitahu bahawa pemilihan feri sebagai simbol pelancongan Bagan dibuat berdasarkan sejarah, budaya dan identiti negeri Pulau Pinang.

“Suatu ketika dahulu, feri merupakan pengangkutan utama yang menghubungkan pulau dan tanah besar Seberang Perai dan memainkan peranan penting dalam kehidupan seharian masyarakat setempat.

“Hari ini, simbol feri ikonik ini bukan sahaja mengimbau kenangan silam tetapi juga menjadi platform untuk generasi muda mengenali dan menghargai warisan negeri ini.

“Dengan adanya tarikan ini, ia bukan sahaja mengangkat nilai sejarah tetapi juga mempromosikan Bagan sebagai destinasi pelancongan yang unik dan penuh bermakna,” ujarnya.

Beliau dalam pada itu merakamkan penghargaan atas usaha Guan Eng yang telah membantu menjadikan projek tersebut sebagai realiti.

“Dedikasi beliau dalam membawa simbolik bersejarah ini ke Parlimen Bagan telah memberikan inspirasi kepada penduduk setempat.

“Feri ikonik ini kini menjadi lambang kebanggaan Bagan, khususnya di Seberang Perai sebagai salah satu warisan yang wajar dibanggakan,” ujarnya lagi.

Difahamkan, pelancaran feri “Bagan” akan dirasmikan oleh Yang di-Pertua Negeri (TYT) Pulau Pinang, Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak pada 18 Januari ini dekat Dewan Datuk Haji Ahmad Badawi di sini.

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : ADUN