Feri Pulau Pinang : Beri masa kepada PPSB – Ketua Menteri

Admin

GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri Pulau Pinang akan menunggu tindakan lanjut daripada Penang Port Sdn. Bhd. (PPSB) susulan pengumuman Menteri Kewangan untuk mengekalkan perkhidmatan feri ikonik itu, semalam.

 

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata bahawa pengumuman tersebut memberi kejutan kepada pihak PPSB yang hadir memberi taklimat berhubung perkhidmatan katamaran baru-baru ini kepada barisan Exco Kerajaan Negeri.

 

“Beri masa kepada pengurusan PPSB untuk terima arahan selanjutnya daripada Kementerian Pengangkutan (MOT) atau Kementerian Kewangan (MOF) sama ada pelan interim perkhidmatan feri akan diteruskan seperti biasa atau tidak,” ujarnya sebagai respons terhadap pertanyaan media pada sesi sidang media di Komtar tengah hari ini.

 

Semalam, Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz mengumumkan bahawa Kerajaan Persekutuan telah meluluskan sejumlah peruntukan bernilai RM30 juta bagi meneruskan perkhidmatan feri Pulau Pinang mengikut syarat-syarat pembiayaan kerajaan kepada Pelabuhan Pulau Pinang bagi pengambilalihan perkhidmatan tersebut.

 

Terdahulu, Kon Yeow memberitahu pemberita bahawa Kerajaan Negeri Pulau Pinang masih dengan pendirian untuk mengekalkan perkhidmatan feri sedia ada memandangkan ia merupakan sebahagian daripada warisan dan ikon Pulau Pinang.

 

“Kerajaan Negeri menyampaikan hasrat (pendirian untuk mengekalkan perkhidmatan feri sedia ada) tersebut kepada MOT dan berharap pihak kementerian dapat mempertimbangkan semula keputusan untuk menggantikan perkhidmatan feri dengan katamaran baharu,” katanya.

 

Difahamkan, perkhidmatan katamaran baharu dijangka bermula dalam tempoh 18 bulan lagi atau sekitar Julai tahun hadapan.

 

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI
Gambar : AHMAD ADIL MUHAMAD