Feri selamat

Oleh: MOHD. HAFIZ TAJUDIN

GEORGE TOWNWalaupun Penang Port Sdn. Bhd. (PPSB) mempunyai rekod pengendalian feri yang baik, adalah penting untuk terus mengekalkan prestasi berkenaan bagi memastikan perjalanan feri berjalan lancar dan yang penting sekali adalah selamat.

Kenyataan tersebut dinyatakan Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng baru-baru ini ketika mengadakan lawatan khas ke Terminal Feri Pengkalan Raja Tun Uda (PRTU) bagi memantau tahap keselamatan perkhidmatan feri di negeri ini.

Lawatan itu diadakan susulan daripada kes sebuah feri yang karam di Hong Kong dan meragut 38 nyawa berdekatan Pulau Lamma awal Oktober lalu.

Guan Eng berkata, Kerajaan Negeri mengadakan pemantauan mengejut tersebut kerana system yang digunakan perkhidmatan feri di Hong Kong adalah lebih kurang sama dengan sistem di sini (Pulau Pinang).

Dalam pada itu, berdasarkan kenyataan dikeluarkan Ketua Unit Perkhidmatan Feri, Fisnol Ainon Mahmud, perkhidmatan feri yang disediakan PPSB ketika ini berada pada tahap keselamatan yang baik.

Katanya, dalam satu masa, sebanyak lapan buah feri beroperasi iaitu dengan pecahan sebanyak empat buah feri untuk operasi harian, pemeriksaan (1), kecemasan (1) dan dibaiki di dermaga (2).

“Kelas feri tertua terdiri daripada Feri Pulau Undan, Pulau Rawa dan Pulau Talang-Talang dengan perkhidmatan sebelum tahun 1980.

“Generasi kedua iaitu pada tahun 1980 adalah membabitkan feri Pulau Rimau, Pulau Kapas dan Pulau Angsa. Generasi baru, tahun 2002 adalah feri Pulau Pinang dan Pulau Payar,’’ jelas Fisnol.

Beliau memberitahu, setiap sebuah feri yang beroperasi adalah melibatkan sembilan krew dan bergerak dengan kelajuan minima tujuh knot.

Jelasnya, pada aspek keselamatan, setiap krew akan diberikan latihan dari semasa ke semasa melibatkan pengendalian alat menghadapi kebakaran, alatalat keselamatan serta kaedah menyelamat penumpang.

“Operasi feri juga mematuhi garis panduan Jabatan Laut Semenanjung bagi mendapat kelayakan membawa penumpang.

“Malah, feri-feri ini juga diaudit oleh Lloyds Surveyor Classification Society setiap tahun melalui pemeriksaan dan pemantauan rekod penyelenggaraan,” jelas beliau.

Pada masa sama, kata Fisnol, pemeriksaan rutin ke atas feri-feri yang beroperasi turut dijalankan dari semasa ke semasa.

FISNOL Ainon Mahmud (kanan) menunjukkan artikel menjelaskan antara latihan yang dijalankan oleh krew feri ketika kecemasan sempena lawatan Ketua Menteri ke Terminal Feri PRTU di sini baru-baru ini.
FISNOL Ainon Mahmud (kanan) menunjukkan artikel menjelaskan antara latihan yang dijalankan oleh krew feri ketika kecemasan sempena lawatan Ketua Menteri ke Terminal Feri PRTU di sini baru-baru ini.