FESKOM jadi program rasmi Kerajaan Negeri

Admin

Oleh: NORSHAHIDA YUSOFF

KETANGKASAN dua peserta pencak silat menggunakan keris memperoleh tumpuan bersempena penganjuran FESKOM di sini baru-baru ini.
KETANGKASAN dua peserta pencak silat menggunakan keris memperoleh tumpuan bersempena penganjuran FESKOM di sini
baru-baru ini.

SUNGAI NIBONG – Setelah dihentikan penganjurannya pada tahun 2005, atas inisiatif khas Kerajaan Negeri, Festival Sukan Kombat (FESKOM) telah diwujudkan semula seiring dengan penganjuran Pesta Pulau Pinang 2011 di sini baru-baru ini.

Malah, bermula tahun ini, FESKOM bakal dijadikan sebagai salah satu program rasmi Kerajaan Negeri Pulau Pinang saban tahun sejak Pakatan Rakyat memerintah.

Selain dimeriahkan dengan pengunjung yang hadir, majlis penutupan program berkenaan turut disempurnakan sendiri oleh Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti, Lydia Ong Kok Fooi.

Kok Fooi berkata, objektif utama Kerajaan Negeri menghidupkan semula FESKOM adalah bertujuan menilai tahap sebenar persediaan dan prestasi pasukan negeri-negeri yang bertanding dan memberikan pendedahan awal kepada semua peserta untuk mengukur kekuatan pihak lawan di gelanggang sebenar.

“Kerajaan berharap semangat keakraban dan setiakawan dalam kalangan peminat-peminat sukan mempertahankan diri akan menjalinkan satu permuafakatan dan persahabatan sepanjang tempoh kejohanan diadakan.

“Gunalah kesempatan ini untuk memperbaiki segala teknik dan berkongsi pengalaman serta proses pembelajaran sesama rakan seperjuangan,” ujarnya ketika merasmikan penutupan FESKOM 2011 baru-baru ini.

Dalam pada itu, kejuaraan pencak silat sempena FESKOM yang dianjurkan oleh Majlis Silat Negeri Pulau Pinang bersama Pasukan Pencak Silat Majlis Sukan Negeri Pulau Pinang baru-baru ini telah berjaya menarik penyertaan pasukan-pasukan dari negeri di seluruh Malaysia dan negara luar seperti Indonesia dan Singapura.

Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Majlis Sukan Negeri, Datuk Ong Poh Eng, Pengarah Majlis Sukan Negeri, Frederick Tan, Naib Yang diPertua Majlis Silat Negeri, Ismail Chik dan juri-juri Wasit Silat Kebangsaan.