GEORGE TOWN- Festival Sukan Malaysia X (FESMAS X) menjadi penghubung kepada semangat setiakawan serta penyatuan semua organisasi sukan, pegawai-pegawai dan semua yang terlibat dalam sukan di Malaysia, ujar Exco Belia dan Sukan, Pembangunan Wanita Keluarga dan Komuniti, Lydia Ong Kok Fooi di sini baru-baru ini.
Beliau berkata demikian pada Majlis Makan Malam FESMAS X yang mana negeri Pulau Pinang diberi tanggungjawab untuk menjadi badan penganjur kejohanan berprestij berkenaan.
Katanya, Kerajaan Negeri Pulau Pinang sangat berharap dengan adanya majlis seperti penganjuran tersebut, ia akan mengeratkan silaturrahim antara kakitangan dan semua pegawai yang terlibat dalam menjayakan sukan di negara kita.
“Ini sudah pasti akan turut menggalakkan kerjasama yang berpanjangan dan erat ketika dan selepas sesuatu pertandingan mengambil tempat,” jelasnya.
FESMAS X telah berlangsung dari 27 November hingga 1 Disember lalu di sini dengan penyertaan pasukan-pasukan sukan dari seluruh negara.
Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif Institut Sukan Negara (ISN), Ahmad Shapawi Ismail, Timbalan Pengerusi ISN, Datuk Ong Poh Eng dan semua pegawai dan ahli Majlis Sukan Negeri Pulau Pinang.