Festival Boria, saji wajah asli persembahan kebudayaan Pulau Pinang

KUMPULAN Boria Omara mengadakan persembahan gimik di lobi Menara Bandaraya MBSP pada 29 September 2022 sebagai mempromosi Festival Boria Pulau Pinang 2022.

SEBERANG JAYA – Festival Boria Pulau Pinang 2022 yang diadakan di Robina Eco Park, Butterworth pada 28 dan 29 Oktober nanti akan menyajikan wajah asli persembahan kebudayaan tersebut sejak era 1960-an hingga kini.

MOHD. Ridzal Abdul

Pengarah Jabatan Pelancongan, Seni dan Warisan bagi Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP), Tpr. Mohd. Ridzal Abdul memberitahu bahawa penganjuran festival tersebut adalah dengan kerjasama Kumpulan Boria Omara serta mendapat sokongan daripada Pejabat Pesuruhjaya Warisan Negeri Pulau Pinang.

“Festival ini akan menghimpunkan boria generasi lama dan generasi sekarang untuk dipersembahkan kepada rakyat Pulau Pinang terutama penduduk Seberang Perai dan khususnya Utara (Semenanjung Malaysia yang merangkumi) negeri Kedah, Perlis dan Perak untuk datang ke festival boria ini,” jelasnya selepas acara gimik promosi festival tersebut di lobi Menara Bandaraya MBSP di sini pada 29 September 2022.

ROSLI Nor

Bercakap dalam sidang media sama, Pesuruhjaya Warisan Negeri Pulau Pinang, Rosli Nor memberitahu bahawa pihaknya akan berusaha mendokumentasikan Festival Boria Pulau Pinang 2022 untuk tujuan pencalonan kategori warisan kebudayaan ‘tidak ketara’ dunia di bawah UNESCO (Pertubuhan Saintifik, Pendidikan dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu).

“Tujuan penganjuran boria asli, selepas merdeka dan kini adalah untuk membuat dokumentasi bagi mengangkat Boria Pulau Pinang sebagai warisan dunia UNESCO.

“Di Pulau Pinang, kita telah ada warisan ketara iaitu George Town Tapak Warisan Dunia (UNESCO), kemudian Bukit Bendera dan Taman Negara (dekat Teluk Bahang) sebagai kawasan Rizab Biosfera Pulau Pinang, dan sekarang ini giliran warisan kebudayaan ‘tidak ketara’ di negeri Pulau Pinang, iaitu Boria,” jelasnya.

OMAR Hashim (tujuh dari kiri) dan barisan anggota Kumpulan Boria Omara merakamkan gambar kenang-kenangan di sini tadi.

Pengasas Kumpulan Boria Omara, Omar Hashim yang juga Tokoh Warisan Kebangsaan Orang Hidup (WAKOH) 2018 dan Pegawai Perancang Bandar dan Desa di Pejabat Pesuruhjaya Warisan Negeri Pulau Pinang, Rozaini Hassan turut sertai sidang media ringkas tersebut.

Buletin Mutiara difahamkan, bengkel dan galeri boria, ‘food truck’, pertandingan mewarna kategori kanak-kanak, pertandingan menghias payung dan tongkat boria serta memakai kostum boria dan pertandingan karaoke merupakan antara acara menarik sepanjang dua hari Festival Boria Pulau Pinang 2022.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : AHMAD ADIL MUHAMAD