GEORGE TOWN – Penganjuran Festival Bukit Bendera diyakini mampu menyatukan seluruh rakyat di negeri ini melalui nilai sejarah, kepelbagaian budaya serta alam sekitar, kata Exco Kerja Raya Utiliti dan Tebatan Banjir, Zairil Khir Johari.
Festival yang selari dengan misi Kerajaan Negeri itu, menurut Zairil, mampu mempromosikan kekayaan hutan yang berusia 130 juta tahun terletak berdekatan kawasan Bukit Bendera.
“(Dan) kita sebagai rakyat harus memeliharanya demi kelangsungan generasi akan datang, bagi tujuan itu, pelbagai program diatur selari dengan pemeliharaan dan pemuliharaan alam sekitar,” ujarnya pada penganjuran festival berkenaan pada 28 Julai lalu.
Bertemakan “See the Nature, Feel the Hisrory”, turut berlangsung pada hari berkenaan adalah persembahan muzik tradisional oleh pemuzik terkenal dari Hong Kong, William Tam.
Selain itu, persembahan muzik gamelan oleh sekumpulan pelajar dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Permatang Tok Jaya yang menyampaikan tiga lagu iaitu Sri Rama Balik, Kitaro dan irama Tarian Bali ternyata menggamit tumpuan para hadirin.
“Berdasarkan tema program iaitu, saya percaya bahawa para pengunjung yang hadir mendapat pendedahan mengenai Bukit Bendera.
“Tahniah juga diucapkan kepada pasukan Perbadanan Bukit Bendera di atas usaha untuk menjadikan festival ini sebagai kenangan yang tidak dapat dilupakan kepada semua yang terlibat,” katanya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Bunga.
Hadir sama pada festival tersebut ialah Pengurus Besar Perbadanan Bukit Bendera (PHC), Cheok Lay Leng.
Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS