Festival Hari Muzium Antarabangsa 2024 di Pulau Pinang jangka terima 200,000 pengunjung

Admin
whatsapp image 2024 05 09 at 14.41.06

GEORGE TOWN – Kira-kira 200,000 pengunjung termasuk peminat seni dan budaya dijangka hadir ke Festival Hari Muzium Antarabangsa (HMA) 2024 peringkat kebangsaan yang akan berlangsung di Dewan Sri Pinang dari 13 hingga 22 Mei ini.

HMA 2024 yang bertemakan ‘Muzium untuk Pendidikan dan Penyelidikan’ merupakan penganjuran yang julung kalinya diadakan di negeri Pulau Pinang.

Pengarah Lembaga Muzium Negeri Pulau Pinang (LMNPP), Haryany Mohamad berkata acara berprestij itu dijangka menarik kira-kira 1,000 ahli komuniti muzium dari seluruh negara termasuk dari Indonesia, Singapura dan Perancis.

Beliau berkata, selaku tuan rumah ke-28, pelbagai pengisian telah diatur sepanjang festival berlangsung seperti seminar, bengkel, pameran serta program-program komuniti yang bakal menjadi pengalaman unik dan memberi impak tinggi kepada pengunjung.

whatsapp image 2024 05 09 at 14.41.07
Haryany Mohamad menunjukkan aplikasi yang dibangunkan khusus bagi penganjuran Festival Hari Muzium Antarabangsa ke-28 di Pulu Pinang.

“Antaranya termasuk persembahan kebudayaan tradisional seperti wayang kulit, dikir barat, boria, ghazal parti, tarian ronggeng, tarian piring dan lain-lain lagi.

“Kami juga menyediakan kira-kira 40 gerai pameran yang akan didirikan oleh ahli komuniti muzium di seluruh negara termasuk muzium dari Indonesia dan Singapura.

“Festival akan berlangsung di Dewan Sri Pinang, dari 10 pagi hingga 10 malam dan paling penting kemasukan adalah percuma.

“Kami mahu HMA 2024 menjadi platform untuk masyarakat meneroka dan menyaksikan sumbangan kreatif yang dibuat oleh muzium kepada pembangunan negara,” katanya kepada Buletin Mutiara dalam sesi wawancara yang diadakan dekat Muzium dan Balai Seni Lukis Negeri Pulau Pinang 8 Mei lalu.

Haryany berkat, festival tersebut akan dirasmikan oleh Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow pada 18 Mei.

Tambah beliau lagi, aplikasi pintar dikenali sebagai HMA 2024 juga telah dibangunkan untuk membolehkan pengunjung mendapatkan maklumat terkini mengenai festival tersebut.

“Sebagai tuan rumah, Pulau Pinang adalah negeri pertama yang membangunkan aplikasi untuk penganjuran festival ini.

“Adalah penting bagi pengunjung memuat turun aplikasi ini kerana semua maklumat program dan prapendaftaran boleh dibuat melalui aplikasi tersebut.

“Aplikasi itu juga menyediakan jadual perkhidmatan bas yang disediakan sepanjang festival berlangsung.

“Orang ramai boleh memuat turun aplikasi melalui Google Play dan Apple App Store,” katanya.

Mengulas lanjut, Haryany memberitahu bahawa turut akan berlangsung sempena penganjuran festival berkenaan adalah program Museum Fun Walk pada 18 Mei ini sejauh 5 kilometer (km).

“Lebih menarik lagi apabila para peserta perlu memakai baju tidur untuk berjalan kaki dari Taman Belia ke Taman Botani bermula dari jam 7 malam.

“Pendaftaran masih dibuka. Untuk maklumat lanjut dan pendaftaran, boleh layari laman web di https://howei.com/event_details/museumfunwalk2024,” tambahnya.

Difahamkan, Hari Muzium Antarabangsa disambut pada 18 Mei setiap tahun berdasarkan resolusi International Council of Museums (ICOM) sejak 1977.

Oleh : SUNARTI YUSOFF

Gambar : AHMAD ADIL MUHAMAD