Festival WAKOH, Anugerah Cemerlang Warisan Seratus Tahun Pulau Pinang selari – Ketua Menteri

KETUA Menteri (kiri) dan Roslan Abdul Rahman (kanan) mengiringi Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak (tengah) menyempurnakan acara perasmian Festival Warisan Kebangsaan Orang Hidup (WAKOH) di Jalan Padang Kota Lama, George Town pada 22 Oktober 2023.

GEORGE TOWN – Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) melalui Jabatan Warisan Negara buat julung kalinya bekerjasama dengan Kerajaan Negeri Pulau Pinang bagi menganjurkan Festival Warisan Kebangsaan Orang Hidup (WAKOH).

Yang di-Pertua Negeri, (TYT) Tun Dato’ Seri Utama Ahmad Fuzi Abdul Razak hadir merasmikan serta menyerikan Festival ‘Merakyatkan Seni Budaya: Warisan Akar Umbi’ tersebut yang berlangsung dekat Jalan Padang Kota Lama di sini pada 22 Oktober 2023.

BARISAN tokoh WAKOH 2023 merakamkan gambar kenangan bersama-sama Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak, Ketua Menteri dan Roslan Abdul Rahman  di pentas utama persembahan di sini tadi.

Semasa berucap, Ketua Menteri Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow memberitahu bahawa penganjuran festival tersebut yang bertujuan untuk mengiktiraf para penggiat seni dalam pelbagai bidang warisan kebudayaan tidak ketara sebagai WAKOH peringkat kebangsaan adalah selari dengan usaha Kerajaan Negeri hari ini.

“Kerajaan Negeri Pulau Pinang sentiasa bersedia untuk menerima kerjasama daripada pelbagai pihak untuk bersama-sama melestarikan bidang seni, budaya dan warisan negara.

“Malah, Pulau Pinang juga turut memulihara, memelihara, mempromosikan seni, budaya dan warisan melalui pewartaan Enakmen Warisan Negeri Pulau Pinang 2011 dan Peraturan-Peraturan Warisan Negeri Pulau Pinang 2016.

“Selain itu, bagi menghargai dan menyanjungi usaha memartabatkan Warisan Kebudayaan Negeri Pulau Pinang, Kerajaan Negeri pada tahun 2022 telah memperkenalkan Anugerah Cemerlang Warisan Seratus Tahun Pulau Pinang,” jelasnya sambil menyifatkan penganjuran Festival WAKOH selama dua hari sehingga hari ini menambahkan lagi tarikan dunia pada keunikan George Town Tapak Warisan Dunia UNESCO.

Di samping itu, beliau yang juga Exco Kewangan, Pembangunan Ekonomi & Tanah dan Komunikasi berkata bahawa pentadbirannya turut menyambut baik pengiktirafan penggiat budaya boria negeri iaitu Omar Md. Hashim sebagai Tokoh Kebangsaan Orang Hidup di bawah Akta Warisan Kebangsaan 2005 (Akta 645) pada tahun 2018.

Selain itu, beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota merangkap Ahli Parlimen Batu Kawan turut memuji pihak penganjur festival mengetengahkan warisan kebudayaan tidak ketara dalam kalangan komuniti tempatan seperti Peranakan Cina Pulau Pinang, Persatuan Chingay, Persatuan Beca, komuniti Siam dan India selain daripada komuniti Melayu itu sendiri.

Sebelum itu, Ketua Setiausaha MOTAC, Dato’ Roslan Tan Sri Abdul Rahman turut berucap mewakili Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Dato’ Sri Tiong King Sing.

Menurutnya, sehingga tahun 2023 Jabatan Warisan Negara telah mengisytiharkan seramai 27 penggiat seni dalam pelbagai bidang warisan kebudayaan tidak ketara sebagai WAKOH yang mana mereka meliputi bidang bangsawan, cerita rakyat, tarian, muzik, teater, seni halus dan kraf.

“Sehingga tahun 2023, hanya 18 orang WAKOH yang masih hidup dan menjadi kerugian sekiranya kepakaran dan ilmu dalam bidang seni WAKOH tidak dapat diperturunkan atau dikenali oleh masyarakat,” jelasnya.

Serentak pada majlis sama, Tun Ahmad Fuzi dengan diiringi Kon Yeow dan Roslan turut menyerahkan insentif dalam bentuk wang tunai RM20,000 setiap orang kepada barisan tokoh WAKOH berkenaan.

ANTARA persembahan pentas yang sempat dirakamkan lensa Buletin Mutiara di sini pada malam ini.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau turut memaklumkan bawah Belanjawan 2024 Persekutuan yang dibentangkan baru-baru ini turut memperuntukkan sebanyak RM80 juta untuk aktiviti memulihara dan memulihara program warisan tumpuan pelancong.

Bukan itu sahaja katanya, Kerajaan Persekutuan melalui belanjawan tahunan akan datang turut memperuntukkan RM50 juta untuk tujuan memartabat serta mengetengahkan karya seni, sastera dan teater warisan negara.

Yang di-Pertua Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang, Dato’ Law Choo Kiang; Exco Pelancongan dan Ekonomi Kreatif merangkap ADUN Paya Terubong, Wong Hon Wai dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Roslan Isa merupakan antara pemimpin Kerajaan Negeri yang turut serta dalam festival tersebut.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : SIEW CHIA EN
Video : ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI