FFUP platform usahawan kembang rangkaian fesyen

Admin
dsc 4424

TANJUNG BUNGA – Penganjuran Festival Fesyen Usahawan Penang (FFUP) 2025 yang julung kali dianjurkan di negeri ini menerima sambutan yang memberangsangkan.

Exco Perdagangan, Pembangunan Usahawan dan Luar Bandar, Dato’ Rashidi Zinol berkata peringkat awal penganjuran festival itu hanya melibatkan usahawan bumiputera.

Menurut beliau, penganjuran kali ini adalah melibatkan seramai 27 pereka fesyen dengan 37 jenis pakaian telah dipamerkan.

dsc 4377

“Selaku Kerajaan Negeri, kita akan bawa perkara ini ke tengah supaya turut melibatkan usahawan bukan bumiputera, kerana fesyen ini skopnya luas.

“Tambahan pula, fesyen sebenarnya memberi manfaat dan peluang ekonomi yang cukup luas dan lumayan kepada usahawan tempatan,” katanya ketika ditemui sejurus tamat FFUP 2025 dekat sini semalam.

dsc 4419

Hadir sama, wakil Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC); Ajri Zarith Nur AhmadPengurus TEKUN Nasional Pulau Pinang, Haliyatul Asma Jamaluddin; wakil Perbadanan Nasional Berhad (PERNAS), Safiyah Peer Mohamed dan dif-dif jemputan lain.

Rashidi berkata, Kerajaan Negeri berhasrat untuk meneruskan penganjuran festival tersebut pada masa akan datang sekiranya masih mendapat permintaan daripada usahawan tempatan.

“Saya akan beri perhatian terhadap bidang ini dan sekiranya usahawan mempunyai kesungguhan saya yakin Kerajaan Negeri akan lebih membantu membawa produk mereka ke peringkat yang lebih tinggi.

“Kita telah menyaksikan bagaimana inovasi dan keunikan mampu membawa jenama tempatan ke peringkat lebih tinggi, justeru Kerajaan Negeri akan terus menyokong para usahawan melalui program latihan, bimbingan, dan bantuan akses pasaran,” ujarnya.

Mengulas lanjut, Rashidi berkata festival tersebut bukan sekadar platform untuk memperkenalkan jenama dan reka bentuk baharu, tetapi juga menjadi medan untuk membina jaringan perniagaan.

“Usahawan juga berpeluang berkongsi pengalaman sekali gus memperkukuhkan kedudukan usahawan fesyen kita dalam industri.

 

“Sebagai Exco yang bertanggungjawab dalam pembangunan keusahawanan, saya amat berbangga melihat komitmen dan dedikasi yang ditunjukkan oleh usahawan wanita dan lelaki dalam bidang fesyen.

“Kejayaan seorang usahawan wanita yang telah berjaya membawa produknya ke Mydin adalah bukti bahawa dengan sokongan yang tepat, kita mampu mencipta lebih banyak kejayaan,” katanya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Acheh.

 

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI

Gambar : SITI NURATIKAH RAHMAT