PADANG KOTA – Fi bayaran bagi Lesen Penjaja Bergerak / Statik Menggunakan Kenderaan Bermotor (Motosikal, Kereta dan Trak Bergerak) bagi Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dikurangkan daripada RM450 kepada RM150 sebulan.
Ahli Majlis MBPP, Tan Soo Siang berkata, penurunan bayaran fi tersebut adalah bagi menggalakkan para penjaja berkaitan mendapat lesen.
“Selama ini, sama ada penjaja bertagging/tidak berlesen, mereka akan dikompaun oleh pihak MBPP.
“Jadi dengan adanya penurunan fi bayaran lesen, ia akan lebih membantu mereka ini (penjaja) mendapatkan lesen.
“Sebanyak 10 tapak telah dikenal pasti oleh pihak MBPP, pemohon boleh cadang tempat yang mereka rasa sesuai dan hantar permohonan.
“Pihak Majlis akan dapatkan ulasan daripada jabatan berkaitan untuk kelulusan,” ujarnya dalam satu sidang media usai Mesyuarat Biasa Majlis di Dewan Bandaraya MBPP di sini pagi tadi.
Dalam perkembangan berlainan, Soo Siang memaklumkan bahawa bermula 1 Januari 2025, semua premis minuman di Pulau Pinang tidak lagi dibenar menggunakan penyedut minuman plastik.
Menurut Soo Siang, sejak Oktober tahun ini semua peniaga telah dimaklumkan berkenaan perkara ini.
“Dari Oktober sampai sekarang, sesi pendidikan dan makluman berkenaan polisi ini telah diberitahu kepada semua peniaga.
“Bagi MBPP tempoh ini sudah cukup, mereka boleh habiskan stok lama, sebelum dikuat kuasa 1 Januari nanti, begitu juga peruncit telah diberitahu untuk tidak lagi menjual penyedut minuman plastik,” katanya.