RAJA BUAH KEMBALI… Setiap tahun, menjelang bulan Mei hingga Julai, Pulau Pinang menjadi tumpuan penggemar durian.
Kehangatannya bukan sahaja di Balik Pulau, malah, promosi keenakan raja buah tersebut yang hanya bermusim setahun sekali itu meliputi seluruh negeri ini.
Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Mansor Othman berkata, walaupun tahun ini pengeluaran durian berkurangan hampir 80 peratus disebabkan cuaca yang tidak menentu, namun, ianya bukan penghalang kepada penggemar untuk menikmatinya setahun sekali.
“Harga durian pada tahun ini mencanak naik apabila jenis durian, Musang King atau Mau Shan Wang mencecah RM30 sekilogram, manakala Hor Lor dan Ang Heh dijual RM20 sekilogram.
“Bagaimanapun, nilai jualan tersebut dianggap berbaloi dengan mutu durian yang dinikmati,’’ katanya pada Majlis Perasmian Fiesta Durian Berjenama Balik Pulau di sini baru-baru ini.
Turut hadir, Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN), Datuk Abd. Halim Hussain, Exco Hal Ehwal Agama, Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Abdul Malik Abul Kassim.
Bersempena itu, Kerajaan Negeri Pulau Pinang telah menganjurkan Pesta Makanan dan Durian 2012 buat kali keempat di Anjung Indah, Balik Pulau manakala di tempat letak kereta pusat membeli-belah, Quensbay Mall pula menjadi lokasi Fiesta Durian Berjenama Balik Pulau.