MERIAH… Penganjuran Fiesta Santai Rakyat Daerah Seberang Perai Tengah (SPT) oleh Pejabat Daerah dan Tanah SPT serta Pejabat Timbalan Ketua Menteri I berjaya menawan hati lebih 1,000 penduduk setempat di sini baru-baru ini.
Fiesta berkonsepkan suasana kampung tersebut diadakan di Taman Janggus, Permatang Pauh iaitu sebuah taman perumahan kluster di
pinggir bendang.
Pelbagai acara unik yang dianjurkan berjaya menarik penyertaan pelbagai golongan masyarakat tanpa mengira usia termasuk pelajar tadika dan ibu bapa. Antaranya, kayuhan bendang, pertandingan memancing, gubahan, pameran agensi kerajaan serta kenduri rakyat.
Penganjuran fiesta itu merupakan satu pendekatan bagi mempereratkan masyarakat dengan kepimpinan kerajaan negeri.
Mantan Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Mansor Othman hadir merasmikan majlis penutupan dan penyampaian hadiah penganjuran berkenaan.
Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permatang Pasir, Datuk Mohd. Salleh Man; Pegawai Daerah SPT, Jusni Ismail; mantan Pegawai Penyelaras Kadun (PPK) Seberang Jaya, Abdul Jalil Che Ros; dan Ahli Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP), Ahmad Farid Md Arshad.