Fiesta Sukan Bendang kembalikan nostalgia aktiviti bersawah – ADUN

SUNGAI ACHEH – Fiesta Sukan Bendang yang diadakan dekat Kampung Tok Tuntung, di sini berlangsung penuh meriah dengan disertai oleh lebih 500 pengunjung terdiri daripada pelbagai lapisan umur dan latar belakang.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Acheh, Zulkifli Ibrahim berkata, penganjuran pesta selama satu hari itu dapat mengembalikan semula nostalgia rakyat terhadap aktiviti bersawah masyarakat Melayu suatu ketika dahulu.

Pertandingan mengukir buah-buahan antara yang berlangsung pada penganjuran Fiesta Sukan Bendang dekat Kampung Tok Tuntung, Sungai Acheh pada 22 Februari lalu.

“Penganjuran acara seumpama ini mampu memberi pendedahan berguna kepada orang ramai khususnya generasi muda melihat dan merasai sendiri pengalaman yang tidak dapat diperoleh di tempat lain.

“Acara sebegini juga tidak langsung dapat mengeratkan silaturahim antara pengunjung serta dapat membendung gejala tidak sihat dalam kalangan remaja dalam aktiviti tidak sihat seperti penyalahgunaan dadah dan merempit,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan majlis penutup pesta berkenaan pada 22 Februari lalu.

Turut hadir, ADUN Sungai Bakap, Dr. Amar Pritpal Abdullah; Pegawai Daerah bagi Daerah Seberang Perai Selatan (SPS), Yazman Yahya; Pegawai Khas kepada Timbalan Ketua Menteri I, Amin Abdullah serta ramai lagi.

Mengulas lanjut, Zulkifli memaklumkan bahawa dengan mengambil kira smabutan hangat ditunjukkan penduduk setempat, pihaknya bercadang menjadikan pesta tersebut sebagai program tahunan.

Kanak-kanak tidak melepaskan peluang mengambil bahagian dalam acara larian bendang.

Difahamkan, sebanyak 11 acara disertai pengunjung antaranya lari dalam bendang, panjat tiang licin, pahlawan pukul bantal, menangkap itik, mengukur kelapa dan menangkap ikan keli.

Selain itu, beberapa program oleh agensi kerajaan juga turut mengambil bahagian antaranya Pejabat Penerangan Daerah (JaPen) Seberang Perai Selatan mellaui Skuad Mobile JaPen SPS untuk memberi informasi terkini dan edaran risalah pencegarah Koronavirus (Covid-19), Insentif e-Tunai rakyat, i-Suri, pengurangan kadar tol, Skim Peduli Kesihatan untuk kumpulan B40 (PeKa B40), MySalam dan i-Sejahtera.

Acara bertambah meriah apabila Zulkifli tanpa segan silu turut sama turun ke bendang bagi sama-sama memeriahkan acara berkenaan.

Oleh : SUNARTI YUSOFF

Gambar : NUR AFIQAH ZAINUDI