Firefly terbang ke Krabi 3 kali seminggu

Oleh : NORSHAHIDA YUSOFF
Gambar : LAW SUUN TING

BAYAN LEPAS – Firefly Sdn. Bhd. (Firefly), sebuah syarikat penerbangan komuniti milik Penerbangan Malaysia (MAS) pada September lalu
melancarkan laluan baru di antara Pulau Pinang dan Krabi, Thailand.

Selaras dengan pelancaran itu, ia menjadikan keseluruhan penerbangan ulang alik di antara Pulau Pinang dan negara Thailand meningkat kepada 10 penerbangan dalam tempoh seminggu membabitkan tiga lokasi terkemuka.

Lokasi-lokasi terbabit adalah tiga penerbangan ulang-alik Pulau Pinang dan Krabi; Pulau Pinang dan Phuket (4) dan Pulau Pinang dengan Koh Samui (3).

Ketua Pegawai Eksekutif Firefly, Ignatius Ong berkata, penerbangan ulang-alik Pulau Pinang dengan Krabi menggunakan pesawat jenis ATR-600 turbo, berkapasiti 72 tempat duduk telah mula menjual tiketnya pada 11 September lalu.

“Firefly merupakan syarikat penerbangan yang terkenal dengan pelbagai tawaran melancong menarik dan yang paling penting, ia mampu dimiliki, mudah dan murah.

“Laluan baru ini (Pulau Pinang – Krabi), tambang penerbangan semua dalam satu yang diperkenalkan adalah berjumlah RM147.

“Kami telah mula beroperasi di Pulau Pinang sejak tahun 2007, sehingga kini, Pulau Pinang merupakan pusat operasi utama bagi Firefly.

“Kami berbesar hati memperkenalkan laluan baru ini kerana Firefly amat dekat dan sinonim dengan Pulau Pinang,” selorohnya semasa Majlis Pelancaran Penerbangan Sulung Pulau Pinang – Krabi di Lapangan Terbang Antarabangsa Bayan Lepas (LTABL) di sini baru-baru ini.

Hadir menyempurnakan majlis tersebut adalah Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng.

Turut menemani, Exco Pembangunan Pelancongan, Danny Law Heng Kiang dan Pengarah Pelancongan Thailand di Malaysia dan Brunei, Suwat Kumwong.

Dalam pada itu, Ignatius turut percaya bahawa perkembangan laluan baru tersebut merupakan perkembangan yang menggalakkan apabila sejak tiga tahun lalu (2011 hingga 2013), Firefly telah membawa sejumlah 1, 705, 851 penumpang ke Pulau Pinang.

Guan Eng dalam pada itu menyifatkan pencapaian baru dalam industri penerbangan yang dibawa Firefly adalah selaras dengan aspirasi Pulau Pinang untuk meningkatkan industri pelancongan negeri.