GEORGE TOWN – Warga Pulau Pinang, khasnya, kini dapat berinteraksi dengan lebih berkesan dengan Ketua Menteri menerusi platform media sosial dikenali sebagai ‘First Responder‘.
Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata bahawa ‘First Responder‘ merupakan inisiatif di bawah Kempen ❤️PENANG (LovePENANG) yang bertujuan memberi maklum balas terhadap sebarang pertanyaan serta isu-isu yang dibangkitkan umum melalui laman Facebook rasmi beliau.
“Semua pertanyaan yang dibangkitkan terutama oleh rakyat Pulau Pinang akan dirujuk kepada jabatan serta agensi berkaitan bagi tindakan lanjut dalam tempoh 24 jam, bergantung kepada isu atau pertanyaan.
Menerusi pendekatan ini, setiap pertanyaan tidak hanya bergantung kepada maklum balas dalam tempoh waktu segera, sebaliknya adalah untuk memastikan ketelusan dan akauntabiliti maklumat yang dikongsikan sahih supaya dapat mengurangkan tersebarnya informasi palsu atau tidak sahih.
“(Tambahan pula), pendekatan ini adalah selari dengan usaha Kerajaan Negeri untuk mempercepatkan penyampaian program serta pembaharuan institusi pentadbiran,” ujarnya pada sidang media yang diadakan di Komtar pada 27 Jun 2022.
Mengulas lanjut, Kon Yeow yang juga Exco Komunikasi memaklumkan bahawa satu pasukan ‘First Responder’ yang terdiri daripada wakil pelbagai jabatan dan agensi berkaitan, bertanggungjawab memberi maklum balas berhubung pertanyaan yang dikemukakan di platform media sosial Ketua Menteri.
Bagi pihak Kerajaan Negeri, saya berharap inisiatif ini dapat membantu mewujudkan lebih banyak platform untuk penglibatan umum terutama dalam aspek pembangunan sosial.
“Malah, saya yakin ia juga mampu meleraikan kerisauan dihadapi terutamanya dalam memperoleh maklumat yang sahih sekali gus memastikan komunikasi dua hala yang lebih efektif antara rakyat dan Kerajaan Negeri,” jelasnya.
Difahamkan, wakil daripada jabatan dan agensi berkaitan akan memberi maklum balas menggunakan akaun media sosial berasingan, ‘First Responder’.
Dalam perkembangan berkaitan, Kon Yeow turut mengalu-alukan semua pihak terutamanya rakyat Pulau Pinang untuk menyertai pertandingan video media sosial.
Pertandingan ini adalah bagi menggalakkan penglibatan orang ramai khasnya generasi muda untuk berkongsi kreativiti menerusi penghasilan video pendek dengan mesej ❤️PENANG (LovePENANG) menerusi platform media sosial seperti Facebook, Instagram dan TikTok.
“(Dan) saya menyeru kepada semua supaya tidak melepaskan peluang ini dalam menzahirkan serta menyemarakkan lagi semangat cintakan negeri kita, ❤️PENANG (LovePENANG),” katanya.
Penyertaan adalah terbuka kepada semua rakyat Malaysia, bermula 27 Jun 2022 sehingga 27 Julai 2022. Video yang mempunyai jumlah ‘Likes’ dan ‘Shares’ tertinggi akan dinilai. Barisan pemenang akan diumumkan menerusi laman Facebook ❤️PENANG (LovePENANG).
Johan akan menerima hadiah wang tunai bernilai RM8,000. Manakala naib johan dan tempat ketiga masing-masing RM5,000 dan RM3,000. Hadiah cenderahati turut ditawarkan bagi hasil karya kreatif yang dipilih oleh barisan juri profesional.
Maklumat lanjut, sila layari laman sesawang, https://lovepg.my/.
Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI Gambar : DARWINA MOHD. DAUD