oleh: AHMAD ARAFAT ESAH
GEORGE TOWN – Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Dr. Mohd. Puad Zarkashi dan akhbar Utusan Malaysia diberi kata dua gara-gara tersiarnya artikel ‘Cuba sembunyi kebiadaban DAP’ pada 7 September lepas.
Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng berkata, kedua-dua pihak tersebut diminta memohon maaf secara terbuka serta menarik balik artikel berunsur hasutan itu atau bersedia menghadapi tindakan mahkamah.
Beliau berkata, peguam Karpal Singh (Ahli Parlimen Bukit Gelugor merangkap Pengerusi DAP) sendiri akan memulakan tindakan mahkamah sekiranya tiada penyelesaian daripada kedua-dua pihak berkenaan.
“Lim Kit Siang tiada di Kuala Lumpur, beliau berada di Kota Kinabalu, balik saja dari Kota Kinabalu, beliau ditahan di bawah ISA,” ujar beliau di sini baru-baru ini.
Artikel yang dilaporkan dalam Utusan Malaysia itu antara lain menyebut, “Tindakan Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng cuba menyekat tayangan filem Tanda Putera di negeri itu didakwa kerana ingin melindungi adegan biadab seorang pemimpin DAP.”
“Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Dr. Mohd Puad Zarkashi mendakwa, tindakan melulu Guan Eng menyekat penayangan filem berkenaan semata-mata ingin menyembunyikan kebiadaban Penasihat DAP, Lim Kit Siang yang bertindak kencing di depan rumah Menteri Besar Selangor ketika peristiwa 13 Mei 1969.”
Sementara itu, Guan Eng memuji sikap The New Straits Times Press (Malaysia) Berhad (NSTP) atas kenyataan maaf kepada Datuk Zarul Ahmad Zulkifli (Pengerusi Zenith Construction), ekoran, laporan berbaur fitnah yang disiarkan mereka pada 15 Mac 2013.
Laporan yang dimaksudkan itu antara lain menuduh Ketua Menteri menganugerahkan projek infrastruktur mega negeri kepada seseorang yang telah dipenjara dan didenda kerana pecah amanah (CBT).
Pihak NSTP, dilaporkan, berjanji tidak akan mengulangi dakwaan yang kurang berasas itu. Terdahulu, Guan Eng pernah menang saman fitnah ke atas Utusan Malaysia.