Fitnah keluarkan kad pengenalan kepada warga asing, Setiausaha Politik buat laporan polis

GEORGE TOWN – Satu laporan polis dibuat berhubung kenyataan fitnah terhadap Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow yang kononnya memberi kuasa kepada Kerajaan Negeri dalam pengeluaran kad pengenalan kepada warga asing.

Laporan dibuat oleh Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri, Teh Lai Heng dekat Balai Polis Jalan Patani, Ibu Pejabat Polis (IPD) Timur Laut, tengah hari ini.

“Akaun Facebook dengan nama ‘Nik Nasrul’ memaparkan gambar Ketua Menteri dengan kenyataan fitnah seperti berikut; Dah ngaku! TANGKAP. PEMBERIAN KAD PENGENALAN KEPADA WARGA CHINA DAN HONG KONG ADALAH KUASA KERAJAAN NEGERI, KERAJAAN PUSAT TIDAK BERHAK CAMPUR TANGAN – CHOW KON YEOW.

Posting (hantaran) tersebut adalah satu fitnah jenayah terhadap Y.A.B. (Ketua Menteri) kerana beliau tidak pernah pada bila-bila masa membuat kenyataan fitnah seperti itu.

“Malah sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang dan rakyat Malaysia, Y.A.B. menghormati dan mendokong Perlembagaan Persekutuan yang jelas memperuntukkan bahawa isu kewarganegaraan adalah bidang kuasa Kerajaan Persekutuan dan bukannya Kerajaan Negeri.

“Kenyataan fitnah ini boleh menyebabkan atau menaikkan sentimen agama dan perkauman dalam kalangan masyarakat di negara ini kerana ia seolah-olah menunjukkan Y.A.B. memberi kepentingan khusus kepada warga negara China dan Hong Kong,” tegas Lai Heng kepada pihak media.

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Pinang, Lim Siew Khim dan Ahli Parlimen Jelutong, R.S.N. Rayer.

Tambah Lai Heng, kenyataan tersebut juga dilihat mampu mencetuskan ketegangan kaum di saat negara sedang berdepan dengan wabak COVID-19.

Selain itu, kenyataan fitnah itu menyebabkan prasangka buruk terhadap Ketua Menteri yang juga Ahli Parlimen Tanjong merangkap ADUN Padang Kota dan pimpinan bagi  Parti Tindakan Demokratik (DAP).

“Saya memfailkan laporan ini untuk tindakan segera pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) di bawah Seksyen 499 dan 500 Kanun Keseksaan Seksyen 233,  Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 terhadap mereka yang terbabit.

“Difahamkan ini adalah kali keempat laporan  fitnah terhadap Ketua Menteri dibuat dan masih tiada tindakan setakat ini. Justeru, kita minta pihak polis agar bertindak lebih tegas dengan mengambil tindakan kepada penyebar fitnah tersebut,” jelasnya yang juga ADUN Komtar.

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI

Gambar : ADUN