-
GEORGE TOWN – Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri, Teh Lai Heng hari ini membuat laporan polis berhubung penyebaran suatu kenyataan fitnah terhadap Ketua Menteri berkaitan pengeluaran kad pengenalan (MyKad) kepada bukan warganegara.
Menurut Lai Heng, kenyataan fitnah dalam poster info grafik tersebut tular melalui aplikasi WhatsApp dipercayai semalam yang berbunyi: ‘Ketua Menteri dan Kerajaan Negeri Pulau Pinang mempunyai kuasa mutlak untuk mengurniakan MyKad kepada individu bukan warganegara; dan orang luar diminta tidak mencampuri urusan Kerajaan Negeri’.
“Ketua Menteri mahupun Kerajaan Negeri tidak pernah pada bila-bila masa, mengarahkan mana-mana pihak untuk mengeluarkan MyKad kepada mana-mana individu, apatah lagi golongan bukan warganegara.
“Ketua Menteri dan Kerajaan Negeri jelas menghormati Perlembagaan Persekutuan yang mana urusan kewarganegaraan adalah jelas di bawah bidang kuasa Senarai Persekutuan, dan bukannya Senarai Bersama mahupun Senarai Negeri.
“Kenyataan tersebut merupakan fitnah terhadap YAB Ketua Menteri serta Kerajaan Negeri yang mana menjatuhkan imej serta nama baik pihak-pihak yang tidak bersalah.
“Ia merupakan suatu tindakan jahat oleh pihak yang tidak bertanggungjawab dan menghina Perlembagaan Persekutuan yang merupakan undang-undang terulung (supreme) di Malaysia,” tegasnya sejurus membuat laporan polis dekat Balai Polis Jalan Patani di sini tadi.
-
Lai Heng yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Komtar dalam pada itu turut ditemani ADUN Batu Lancang, Ong Ah Teong dan ADUN Air Itam, Joseph Ng Soon Siang.
Beliau berharap polis dapat menyiasat dengan lebih lanjut dan memastikan dalang di sebalik penyebaran kenyataan tersebut dikenakan tindakan undang-undang yang sewajarnya.
Teks & Gambar : WATAWA NATAF ZULKIFLI