Fitnah Pulau Mazhu, tidak dapat tunjuk bukti

Oleh: YAP LEE YING & ZAINULFAQAR YAACOB

GEORGE TOWN – UMNO masih tidak dapat tunjuk bukti atas dakwaan fitnah pihak terbabit bahawa Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat (PR) Pulau Pinang telah meluluskan nama Pulau Jerejak ditukarkan kepada Pulau Mazhu (satu dewa Buddha) dan juga untuk membina Tokong Mazhu di sini baru-baru ini.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng dalam kenyataan akhbarnya berkata, walaupun tiada bukti ditunjukkan, perkara sensitif yang palsu diutarakan Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang, Datuk Jahara Hamid telah dimuatkan secara meluas dalam blog pro-UMNO untuk mencemarkan lagi imej Kerajaan Negeri PR dan beliau sebagai Ketua Menteri Cina dalam kalangan masyarakat berketurunan Melayu dan Islam.

“Dakwaan ini yang dibuat Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang, Jahara Hamid adalah sangat merbahaya kerana bersifat rasis dengan cuba menimbulkan isu agama dan kaum.

“Sebagai seorang peguam, beliau harus tahu bahawa sebarang penukaran nama pulau mesti melalui proses perundangan dan diwartakan,’’ katanya di sini baru-baru ini.

Sebelum ini, dalam persidangan mesyuarat kedua penggal pertama DUN Pulau Pinang Kali Ke-13, Jahara yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telok Air Tawar mendakwa bahawa Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat (PR) Pulau Pinang telah meluluskan nama Pulau Jerejak ditukarkan kepada Pulau Mazhu.

Guan Eng menegaskan, sebenarnya, bukan sahaja tidak ada sebarang penwartaan, malah tidak ada sebarang kelulusan oleh Kerajaan Negeri ataupun permohonan oleh mana-mana pihak untuk menukarkan nama Pulau Jerejak.

“Dengan sengaja menimbulkan nama dewa Buddha jelas sekali UMNO cuba menimbulkan kebencian kaum dan agama,’’ ujar beliau.

Sementara itu, berhubung isu seorang penjaja berketururnan Cina dan Melayu (6) haram di sekitar kawasan Pantai Bersih, Butterworth, Seberang Perai Utara (SPU), Guan Eng turut menyifatkan ia sebagai dakwaan jahat bersifat rasis oleh Jahara.

“Satu lagi dakwaan jahat yang bersifat rasis oleh Jahara ialah mengapa hanya mengeluarkan kompaun saman dan tidak ada sebarang tindakan perobohan ke atas gerai haram Cina di Pantai Bersih, Butterworth.

“Beliau cuba mengaitkan tindakan penguatkuasaan perobohan tidak dikenakan ke atas gerai haram Cina dan hanya ke atas gerai Melayu,’’ katanya.

Beliau memberitahu, usaha Jahara untuk mainkan api perkauman adalah tidak bertanggungjawab kerana laporan awal daripada Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) menunjukkan bahawa ada seorang penjaja Cina dan enam penjaja Melayu yang haram di sekitar Pantai Bersih.

“Sebenarnya, MPSP tidak mengambil tindakan perobohan bukan sahaja ke atas satu gerai haram Cina tetapi gagal juga bertindak ke atas enam gerai haram Melayu.

“Sekiranya Jahara cuba tanya mengapa tidak ada tindakan diambil ke atas ketujuh-tujuh gerai haram di Pantai Berish, ia adalah soalan munasabah.

“Tetapi, Jahara melampau bila cuba menjadikan ia satu isu perkauman dengan mensasarkan hanya sebuah gerai haram Cina bila ada juga enam lagi penjaja haram Melayu.

“Sekarang jelas, bukan sahaja UMNO memang rasis, yang dianggap pemimpin dan peguam yang munasabah seperti Jahara pun bersikap rasis,’’ tegas Guan Eng.