Oleh: NORSHAHIDA YUSOFF
BAYAN LEPAS – Federation of Malaysian Manufacturers (FMM) membuka cawangan kedua di negeri ini dalam usahanya untuk menyokong persekitaran perniagaan yang kian berkembang maju di Pulau Pinang dan mewujudkan interaksi lebih dekat bersama ahli komunitinya di sini baru-baru ini.
Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng berkata, pembukaan cawangan kedua FMM di sini adalah sebuah langkah signifikan yang dialualukan agar dapat memberi impak bidang keberhasilan ekonomi lebih positif buat Pulau Pinang.
“Diharapkan dengan komitmen tinggi dan sokongan daripada Kerajaan Negeri akan menjadikan Pulau Pinang di antara negeri tersohor terutamanya dalam sektor pelaburan di negara ini.
Malah, pada tahun 2010, Pulau Pinang telah berjaya mencatatkan pelaburan tertinggi dalam negara.
“Harapan Kerajaan Negeri adalah agar dapat menyeimbangkan di antara sektor pelancongan dan sektor pembuatan. Struktur ekonomi negeri yang lebih seimbang akan mengurangkan naik turun pusingan perniagaan sejagat,” ujarnya pada Majlis Perasmian Cawangan FMM Pulau Pinang di Kompleks D’Piazza di sini baru-baru ini.
Hadir sama Pengerusi FMM Nasional, Tan Sri Yong Poh Kon, Pengerusi FMM Pulau Pinang, Khoo Cheok Sin dan Pengarah Malaysian Investment Development Authority (MIDA), Zabidah Daud.
Dalam pada itu, Guan Eng turut menyatakan bahawa hasrat Kerajaan Negeri juga adalah untuk menjadikan Pulau Pinang sebuah hab perkongsian perkhidmatan dan sumber terutamanya sumber perniagaan, sumber maklumat dan juga sumber ilmu pada masa depan.