FOCCAN mahu masyarakat lebih cakna kanser dalam kalangan kanak-kanak – Maznah

whatsapp image 2024 09 11 at 15.19.40

SEMPENA Bulan Kesedaran Kanser Kanak-Kanak, sepanjang bulan September ini, mercu tanda ikonik tertinggi di Pulau Pinang, Komtar dilimpahi cahaya keemasan.

 

Pengerusi Persatuan Sahabat Kanser Wilayah Utara, MAZNAH TAYIB berkata, usaha tersebut merupakan sebahagian inisiatif  untuk meningkatkan kesedaran umum tentang penyakit kanser dalam kalangan kanak-kanak yang semakin meningkat di Malaysia.

 

“Selaku badan bukan kerajaan (NGO) berdaftar di bawah Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS) sejak 5 September 2016, Persatuan Sahabat Kanser Wilayah Utara atau lebih dikenali sebagai Friend of Childhood Cancer Northern (FOCCAN) sentiasa berusaha memberi pendidikan dan pendedahan agar masyarakat lebih cakna mengenai penyakit kanser dalam kalangan kanak-kanak ini.

 

“Sebagai contoh,  program ‘Shimmering in Gold’ yang telah memasuki tahun ketiga yang mana menara Komtar disinari dengan cahaya keemasan melambangkan betapa kuatnya kanak-kanak penghidap kanser dalam menghadapi penyakit mereka,” ujarnya ketika ditemui di Komtar baru-baru ini.

whatsapp image 2024 09 11 at 14.48.21
MAZNAH Tayib ketika ditemu ramah wartawan Buletin Mutiara baru-baru ini.

Menurut Maznah, FOCCAN kerap kali mengadakan pelbagai aktiviti bersama-sama kanak-kanak penghidap kanser untuk menyuntik semangat kepada kanak-kanak dan juga ibu bapa pesakit.

 

“Setelah sembilan tahun beroperasi, FOCCAN kini mempunyai lebih 1,800 ahli aktif dari segenap lapisan masyarakat baik dari Pulau Pinang, Perlis, Kedah mahupun Perak.

 

Ikatan kasih sayang dalam kalangan ahli FOCCAN bagaikan sebuah keluarga besar, sangat kukuh dan sentiasa menghulurkan bantuan tanpa prejudis, kerana kami berkongsi perjuangan dan perjalanan yang sama.

 

“Sebelum ini, apabila anak bongsu saya didiagnosa sebagai pesakit kanser pada tahun 2015, tiada pun kumpulan sokongan yang membantu dari segi emosi, moral dan kewangan.

 

“Bertitik tolak dari situ, saya bersama-sama rakan-rakan yang lain memulakan perjuangan yang mana kami mula siarkan aktiviti yang dijalankan di media sosial.

 

“Kemudian, kami juga bergerak mendapatkan kerjasama serta bantuan daripada YB (wakil rakyat) setempat yang ada pesakit kanak-kanak dari kawasan mereka.

 

“Melalui kerjasama dengan YB setempat, kami berjaya mendapatkan bantuan dari jabatan kerajaan berwajib seperti Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN).

 

“Malah, ada juga institusi kewangan, NGO atau kelab serta perhotelan yang turut menghulurkan sokongan serta bantuan.

 

“Walaupun perjuangan ini tidak mudah, tetapi dengan sokongan daripada ibu bapa yang pernah melalui dan memahami, maka ada kekuatan untuk mengharunginya bersama-sama,” katanya sambil merafakkan kesyukuran kerana kini anaknya sudahpun berusia 15 tahun dan merupakan survivor kanser.

442493318 843990934438419 5547445376656804268 n
LAMPIN pakai buang kepada pesakit kanser merupakan antara keperluan yang disumbangkan. (Gambar : FOCCAN)

Ditanya mengenai jenis bantuan di bawah FOCCAN, Maznah memberitahu, kanak-kanak yang baru didiagnosa dengan kanser dan dimasukkan ke wad akan menerima bantuan awal sebanyak RM300 selain bantuan kewangan lain yang berkaitan.

 

Selain itu, kanak-kanak ini akan dibantu juga dari segi sumbangan susu formula dan lampin pakai buang bagi mengurangkan bebanan ibu bapa dan waris.

 

“Kami juga menyediakan bantuan pengangkutan kepada ibu bapa dan waris yang perlu membawa anak untuk mendapatkan rawatan di pusat rawatan onkologi di Hospital Pulau Pinang.

 

“Malah, kami mempunyai kumpulan sokongan yang akan memberi khidmat nasihat serta bantuan dari segi psikologi kepada ibu bapa dan waris untuk melalui perjalanan bersama-sama anak mereka sepanjang mendapatkan rawatan kanser.

 

“Oleh itu, saya amat berharap agar lebih ramai sudi membantu terutamanya dari segi dana supaya lebih ramai pesakit kanser kanak-kanak yang sedang mendapatkan rawatan dibantu sewajarnya,” jelasnya.

 

Pernah terjadi, kata Maznah, yang mana seorang pesakit kanak-kanak berhasrat untuk ke Legoland Malaysia bersama-sama ahli keluarganya, namun dek kekangan dana hajatnya tidak kesampaian apabila kanak-kanak itu dijemput Ilahi.

 

“Memang ralat kerana tidak dapat menunaikan hajatnya, jadi kini kami mengorak langkah bekerjasama dengan institusi kewangan yang mana mereka akan menyediakan medium atau tabung untuk mengumpul dana awam,” katanya.

cm kanser
PROGRAM ‘Komtar Shimmering in Gold’ pada 1 September lalu yang disempurnakan oleh Ketua Menteri.

Kendatipun begitu, Maznah gembira apabila isteri kepada Ketua Menteri, Puan Tan Lean Kee sering menghubunginya dan bertanyakan khabar.

 

Saya memang puji Ketua Menteri (Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow) dan isteri yang sentiasa memberikan sokongan dan sering menghubungi kami di FOCCAN untuk bertanyakan khabar atau apa-apa keperluan yang diperlukan.

 

“Memang dalam kalangan YB-YB pun ramai yang membantu kami sejak sembilan tahun lalu,” katanya lagi.

 

Dalam pada itu, Maznah juga berkongsi pengalaman dan usaha yang dilakukan oleh FOCCAN terutama dalam mendekati ibu bapa serta waris pesakit kanser kanak-kanak.

 

“Bagi ibu bapa dan waris yang mempunyai ahli keluarga baru didiagnosa sebagai penghidap kanser, saya ingin sarankan supaya dengarlah nasihat daripada pakar dan lalui sesi rawatan tersebut ‘on day by day basis’, jangan terlalu berfikir panjang atau jauh.

 

Paling penting, janganlah terpedaya dengan penjualan suplemen atau ubat-ubatan tanpa lesen di luar sana, dapatkan rawatan yang betul kerana kami di FOCCAN pernah melaluinya sebelum ini.

 

“Lagipun, semua kanak-kanak di bawah seliaan serta naungan FOCCAN akan sentiasa dilindungi dan tidak diperguna demi mengaut keuntungan pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab.

 

“Sebab itulah saya selalu katakan, pendedahan dan pendidikan kepada masyarakat penting termasuk dari segi penjagaan pemakanan, menguruskan tekanan dan emosi dan sebagainya.

 

“(Hal ini kerana), penghidap kanser dalam kanak-kanak mempunyai latar belakang keluarga dan penyakit yang berbeza, bermula dari saat kelahiran sehingga usia 18 tahun.

 

“Paling ramai adalah penghidap leukemia, selain neuroblastoma, kanser otak, kanser tulang, limfoma, kanser hati dan buah pinggang (antara jenis kanser yang sering kali dihidapi kanak-kanak),” katanya yang juga merupakan Timbalan Pengerusi Childhood Cancer Malaysia (CCM).

 

Sebelum mengakhiri pertemuan, Maznah mempelawa sesiapa yang berkelapangan untuk turut serta dalam Program ‘Kids Day Out’ pada 28 September 2024 bermula pukul 8 pagi sehingga 12 tengah hari di Dewan CAT, Kompleks Masyarakat Penyayang.

 

“Program ini adalah hasil kerjasama Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang dan Pejabat Exco Kesihatan Negeri.

 

“Pelbagai aktiviti diatur antaranya derma darah, rawatan pergigian dan kaunseling daripada pasukan MENTARI yang merupakan Pusat Kesihatan Mental Masyarakat di bawah Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang mana mereka menyediakan perkhidmatan psikiatri dan kesihatan mental kepada ibu bapa dan pesakit kanser.

 

“Selain itu, sesi terapi dari National Cancer Society of Malaysia dan pameran daripada 15 Skuadron Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) turut akan diadakan,” ujarnya lagi.

———–

Bagi yang ingin membantu, sumbangan boleh disalurkan menerusi nombor akaun 557102120607 (Maybank) atau 07016010071431 (Bank Islam) atau hubungi talian 019-425 3840 (Maznah) atau 019-544 4168 (Farah Wahida) atau hadir ke pejabat FOCCAN di Kompleks Masyarakat Penyayang. Maklumat lanjut, sila layari laman Facebook, Friend of Childhood Cancer Northern-M.