Fokus pembangunan modal insan, pastikan kebolehpasaran tenaga kerja kekal relevan

Admin

GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri Pulau Pinang akan terus memberi fokus terhadap pembangunan modal insan terutamanya melibatkan golongan pelajar dalam memastikan kebolehpasaran tenaga kerja di negeri ini kekal relevan dan memenuhi keperluan industri pada masa hadapan.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata, Kerajaan Negeri sentiasa mengorak langkah proaktif dari segi pendidikan dan pembangunan modal insan.

Misalnya, seramai 2,072 peserta merangkumi pelajar sekolah rendah dan menengah telah dilatih dalam pelbagai topik di bawah bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) bagi tempoh Januari hingga Jun tahun lalu oleh pusat-pusat STEM seperti Tech Dome Penang, Penang Science Cluster dan Penang Math Platform.

“Malah, Kerajaan Negeri juga memperuntukkan sebanyak RM2.18 juta untuk (melaksanakan) usaha tersebut.

“(Dan) pada masa sama, menyalurkan peruntukan bagi Sekolah Agama Rakyat, Sekolah Mubaligh, Sekolah Cina dan Sekolah Tamil saban tahun yang mana bayaran bantuan pendidikan ini diteruskan pada tahun ini (2023) dengan jumlah RM13.50 juta, iaitu peningkatan sebanyak RM500,000 berbanding tahun sebelumnya (2022),” ujarnya.

KETUA Menteri bersama-sama Abdul Rashid Abdul Samad (lima dari kiri) dan Mohamad Zawawi Ahmad (empat dari kanan) serta warga Jabatan Pendidikan Negeri Pulau Pinang merakam momen sejurus sebelum majlis bermula.

Kon Yeow berkata demikian ketika hadir menyempurnakan Majlis Wacana Ilmu Apresiasi Pendidikan dan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Peringkat Daerah Timur Laut di Convention 33 dekat sini hari ini.

Hadir sama, Pengarah Pendidikan Negeri, Abdul Rashid Abdul Samad dan Pegawai Pendidikan Daerah, Pejabat Pendidikan Daerah Timur Laut (PPDTL), Mohamad Zawawi Ahmad.

Menurut Kon Yeow, selain aspek pembangunan modal insan pelajar, Kerajaan Negeri turut menghargai segala jasa dan pengorbanan warga pendidik di negeri ini dalam merealisasikan masyarakat yang mempunyai tahap kesusilaan dan keperibadian terpuji.

Guru merupakan penggerak atau pemangkin dalam pembentukan generasi madani yang berkualiti, bertanggungjawab, berdaya saing dan beretika.

“Malahan elemen roh dan jiwa guru serta pengetahuan dan kemahiran perlu dibangkitkan serta dijadikan keutamaan demi memartabatkan profesion keguruan berteraskan Falsafah Pendidikan Kebangsaan untuk pembinaan generasi madani.

“Hal ini juga adalah bertepatan dengan teras yang digariskan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia iaitu memberi penekanan terhadap aspek karamah insaniah melalui pembentukan adab, akhlak dan integriti,” jelasnya.

 

ANTARA barisan warga pendidik yang hadir pada majlis berkaitan di sini.

Pada majlis sama, Kon Yeow yang juga Exco Pembangunan Tanah & Ekonomi dan Komunikasi, menzahirkan pengharapan agar semua pihak termasuk warga pendidik terus memainkan peranan dalam memastikan kecemerlangan dan kegemilangan anak bangsa pada masa hadapan.

“Besar harapan saya agar penganugerahan ini dapat menjadi dorongan untuk terus menunjukkan prestasi cemerlang meliputi semua aspek pedagogi, pengurusan, pentadbiran dan penyampaian perkhidmatan kerajaan,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan mengenai keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2022 yang diumumkan pada hari ini, Kon Yeow memaklumkan bahawa pencapaian cemerlang ini merupakan sesuatu yang amat membanggakan.

“Memandangkan pelbagai cabaran pasca pandemik yang terpaksa ditempuh oleh para pelajar dan warga pendidik maka keputusan kali ini amat bermakna dan membanggakan, syabas dan tahniah kepada semua,” ujarnya.

 

BARISAN rakan strategik Pejabat Pendidikan Daerah Timur Laut tidak melepaskan peluang merakam kenangan bersama-sama Ketua Menteri.

Sementara itu Abdul Rashid, ketika diajukan soalan sama oleh pemberita memberitahu bahawa prestasi Pulau Pinang bagi SPM 2022 bertambah baik.

“Keputusan SPM 2022 (adalah) sangat tinggi dan melebihi unjuran yang mana Gred Purata Negeri adalah 4.6 berbanding 4.77 tahun sebelumnya.

“Manakala peratusan pencapaian layak mendapat sijil meningkat 4.18 peratus atau 90.21 peratus berbanding tahun 2021 (86.03).

“(Dan) ini merupakan kali pertama Pulau Pinang berjaya mencapai angka 90 peratus (dalam keputusan SPM),” jelasnya yang turut menzahirkan penghargaan kepada semua pihak termasuk para guru dan Kerajaan Negeri yang sentiasa memberi dorongan ke arah kecemerlangan pelajar di negeri ini.

POTRET yang dilukis khas untuk Ketua Menteri.

Terdahulu, Kon Yeow meluangkan masa menyerahkan sijil penghargaan kepada rakan-rakan strategik PPDTL serta meraikan 421 penerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang dan 25 penerima Anugerah Apresiasi Pendidikan pada majlis yang turut dihadiri oleh tokoh-tokoh guru dan warga pendidikan.

 

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI
Gambar : SITI NURATIKAH RAHMAT