GEORGE TOWN – Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) kini memberi fokus untuk menempatkan semula penjaja di tepi jalan ke dalam gerai milik Majlis.
Menurut Ahli Majlis pihak berkuasa tempatan itu, Tan Soo Siang, usaha tersebut adalah tindakan berterusan dan giat dijalankan dalam memastikan para penjaja mendapat tempat lebih teratur dan selesa.
“Oleh itu, penjaja sedia ada adalah dipelawa untuk membuat permohonan Penyewaan Gerai Di Pasar Kompleks Tapak Penjaja MBPP bermula esok (16 April 2025) sehingga 10 Mei 2025.
“Sehingga pertengahan April 2025 sejumlah 174 tindakan penguatkuasaan telah diambil terhadap aktiviti penjaja tanpa lesen.
“Untuk makluman, meskipun tindakan penguatkuasaan sedang dilaksanakan namun masih terdapat penjaja yang melanggar peraturan dengan berniaga tanpa lesen dengan rekod seramai 1,049 penjaja,” ujarnya pada sidang media berkaitan di Padang Kota, pagi tadi.
Serentak dengan itu, Soo Siang mempelawa para penjaja yang berminat untuk mengisi kekosongan di tapak-tapak milik MBPP seperti pasar dan gerai.
“Mereka bolehlah membuat permohonan dalam talian mulai esok melalui pautan ulesen.mbpp.gov.my.
“Untuk pemohon yang mempunyai masalah untuk berdaftar secara dalam talian, pemohon boleh walk-in ke Jabatan Pelesenan di Jalan Padang Kota Lama.
“Pemohon yang tidak berdaftar dalam tempoh permohonan dibuka, tidak layak bagi sesi temu duga,” katanya lagi.
Soo Siang menasihatkan pemohon yang layak untuk memastikan temu duga dapat dijalankan dengan lancar dengan mengambil kira talian internet, suasana yang tidak bising, berpakaian sopan dan menepati waktu.
Oleh: WATAWA NATAF ZULKIFLI
Gambar: NUR BATRISYIA IDRUS