Food Bayana ‘remajakan’ Zon Perindustrian Bayan Lepas

Admin
72e1af00 ea62 4d94 8a45 e2d5fdd81ba7

BAYAN LEPAS – Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow menyifatkan kompleks makanan ‘Food Bayana’ menepati status kawasan Bayan Lepas yang memegang gelaran Lembah Silikon Timur ekoran penyediaan inovasi aplikasi robotik dalam sektor perkhidmatan penyediaan makanan.

Menurut beliau, projek tersebut sekali gus telah meremajakan semula Zon Perindustrian Bayan Lepas dengan pusat makanan dan minuman yang lebih moden serta menepati piawaian Indeks Bangunan Hijau (GBI) kelas ‘gold’.

“Kemudahan kompleks makanan dan minuman di sini (zon perundustrian) didapati kurang, sekiranya ada, hanya di tepi laluan biasa yang mana ia tidak berapa menepati serta menggambarkan status dipegang.

“Kita bersyukur yang mana setelah PDC (Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang) membuka cadangan pemajuan pembangunan tapak ini, syarikat Pentamaster Corp. Bhd. (Pentamaster) telah memberikan maklum balas dan membangunan tapak yang kita saksikan hari ini iaitu mengaplikasikan teknologi (robotik) dalam penyampaian serta penghantaran makanan.

“Secara tidak langsung, reka bentuk bangunan ini dan juga penggunaan teknologi terkini menggunakan robot dalam industri perkhidmatan makanan telah membuka satu lembaran baharu khususnya di kawasan industri ini,” ujarnya pada Majlis Perasmian Food Bayana dekat Zon Perindustrian Bayan Lepas Fasa IV di sini sebentar tadi.

d998238b 38fb 4a1d 8350 90cf3ad92907

Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Delima, Connie Tan Hooi Peng; Ketua Pegawai Eksekutif PDC, Dato’ Aziz Bakar; Ketua Pegawai Eksekutif Invest Penang, Dato’ Loo Lee Lian dan Pengerusi Pentamaster Corp. Bhd., Dato’ Chuah Choon Bin.

Ekoran itu, Kon Yeow yang juga Exco Kewangan, Pembangunan Ekonomi & Tanah dan Komunikasi berharap konsep kompleks makanan berkaitan dapat diperluaskan lagi ke kawasan lain.

“Saya juga dimaklumkan oleh Dato’ Chuah (Choon Bin) bahawa terdapat beberapa syarikat dari Lembah Klang serta Singapura telah menghubunginya dan berminat untuk memajukan konsep ini yang boleh dikatakan pertama di Malaysia bagi kategori kompleks makanan.

“Syabas dan tahniah juga kepada PDC dan Pentamaster atas kerjasama menghasilkan projek berkualiti tinggi dan berinovasi ini, malah, difahamkan, kedua-dua pihak berkaitan juga sedang memajukan dua lagi projek iaitu Bayana Hub dan Bayana Parc di kawasan berhampiran,” ulasnya lanjut.

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI

Gambar : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS

Video : DARWINA MOHD. DAUD