Format Piala Demokrasi 2019 diubah kepada 32 pasukan agar lebih kompetitif, pasukan diseru berdaftar – Zairil

Admin

GEORGE TOWN – Piala Demokrasi yang bertemakan Kad Merah Menentang Perkauman memasuki edisi keempat akan dipertandingkan pada 19 Oktober ini bertempat di Padang Polo, umum Exco Kerja Raya Utiliti dan Tebatan Banjir, Zairil Khir Johari.

Menurut Zairil, format pertandingan Piala Demokrasi 2019 akan diubah dalam usaha menjadikannya lebih kompetitif.

“Pertandingan akan bermula dengan format sistem liga di mana 32 pasukan akan dibahagikan kepada lapan kumpulan.

“Pasukan yang mendapat mata tertinggi dalam setiap kumpulan selepas tiga perlawanan akan mara ke pusingan suku akhir.

“Perlawanan suku akhir hingga perlawanan akhir pula akan menggunakan format kalah mati,” ujar beliau dalam satu sidang media di Komtar tengah hari tadi.

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pulau Tikus, Chris Lee Chun Kit dan wakil-wakil penaja.

Difahamkan pertandingan anjuran Pusat Khidmat KADUN Tanjung Bungah dan KADUN Pulau Tikus itu akan berlangsung dari jam 7 pagi hingga 7 petang.

Menurut Zairil, setiap pasukan dikehendaki menyediakan 16 orang pemain.

“Yuran pendaftaran adalah RM150, sehubungan itu, pasukan yang berminat diseru membuat pendaftaran sebelum 19 September ini atau sebelum kuota 32 pasukan dipenuhi,” ujarnya yang juga merupakan ADUN Tanjung Bungah.

Maklumat lanjut dan pendaftaran boleh layari Facebook rasmi Piala Demokrasi http://www.facebook.com/PialaDemokrasi/atau hubungi talian 016-4152548 atau 016-2142248 untuk keterangan lanjut.

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI

Gambar : CHAN KOK KUAN