Oleh: WATAWA NATAF ZULKIFLI
GEORGE TOWN – Bagi memberi kesedaran kepada masyarakat umum mengenai penyakit berisiko dan kepentingan penyusuan ibu, beberapa badan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan United World College (UWC) telah mengambil inisiatif menganjurkan sebuah seminar bertajuk, Lead Your Health With The Best Start.
Seminar anjuran bersama Kolej Disted Kampus Yeap Chor Ee (Disted) turut disertai badan-badan NGO seperti Lembaga Penduduk dan Pembangunan Negara (LPPKN), Penang International Dental College, National Cancer Society, National Kidney Foundation Malaysia, Community Service AIDS of Penang, Whyte House, Universiti Sains Malaysia (USM) dan lain-lain.
Exco Belia & Sukan, Pembangunan Wanita , Keluarga & Komuniti dan Kesenian , Chong Eng menyatakan sokongan penuh Kerajaan Negeri berhubung penganjuran program-program bermanfaat berkenaan.
“ Kerajaan NegerI sememangnya menggalakkan rakyat negeri ini menjaga kesihatan bertepatan dengan hasrat menjadikan Pulau Pinang sebuah negeri yang Bersih, Hijau, Sihat dan Selamat.
“Sejajar itu, Kerajaan Negeri turut mengambil inisiatif menyediakan Bilik Laktasi di Tingkat 47, Komtar, bangunan Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP), Bandar PERDA bagI kemudahan ibu-ibu yang menyusukan anak,” ucapnya pada Majlis Perasmian Forum Lead Your Health With The Best Start di sini baru-baru ini.
Pemeriksaan kesihatan asas seperti kesihatan mata, oral dan tekanan darah turut dijalankan secara percuma selain ceramah oleh doktor pakar mengenai kesihatan.
Para peserta turut didedahkan dengan program penyusuan ibu, makanan bayi, kanser, AIDS, kencing manis, obesiti, pendaftaran mamogram, vaksin Human Papiloma Virus (HPV) dan pendermaan organ.
Turut diadakan adalah khidmat mengurut , pertandingan mewarna dan jualan jumbo bagi sumbangan dana badan-badan kebajikan memerlukan.