GEORGE TOWN – Buat julung kalinya, George Town muncul sebagai bandaraya pertama di Malaysia dipilih sebagai lokasi penganjuran The 5th Tourism Promotion Organization (TPO) Forum 2012 pada 17 hingga 20 September lalu.
Datuk Bandar dan perwakilan dari 70 buah bandar dan 32 ahli industri pelancongan dari rantau Asia Pasifik menghadiri penganjuran yang berlangsung selama empat hari berkenaan.
Pemilihan George Town sebagai tuan rumah kali ini merupakan satu pengiktirafan bermakna kepada Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) dalam merealisasikan budaya pengantarabangsaan di Pulau Pinang.
Malah, forum tersebut turut memberi kesan positif terhadap pertumbuhan ekonomi melalui perkongsian pengalaman dan promosi produk-produk pelancongan tempatan.
Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng yang hadir menyempurnakan Majlis Perasmian The 5th TPO Forum 2012 turut menyatakan keterujaan beliau kerana Pulau Pinang menjadi satu-satunya negeri di Malaysia yang terpilih untuk penganjuran forum bertaraf antarabangsa.
Majlis makan malam sebagai penghargaan kepada semua delegasi diadakan di bangunan bersejarah, Leong San Tong Khoo Kongsi di sini.
Datuk Bandar Surabaya, Indonesia, Ibu Tri Rismaharini ketika ditemui Buletin Mutiara menyatakan bahawa beliau gembira berada di Pulau Pinang dan terpegun dengan kehijauan serta kebersihan pantai di sini.
“Pulau Pinang adalah lebih kurang menyerupai Surabaya dan kita dalam proses menjadikan George Town sebagai ‘sister city’,’ jelasnya.
Turut diadakan adalah majlis pelancaran simbolik arca TPO di Taman Persahabatan, Lebuh Farquhar di sini. Arca tersebut melambangkan kefahaman, kerjasama dan rangkaian dalam kalangan ahli TPO untuk bersama-sama bangunkan industri pelancongan.
ANTARA delegasi yang hadir.
TARIAN kebudayaan mewarnai majlis perasmian The 5th TPO Forum 2012.
PARA delegasi dibawa menaiki beca.
KETUA Menteri dan Yang Dipertua (YDP) MPPP, Datuk Ar. Patahiyah Ismail (kanan sekali)
bersama delegasi pada majlis pelancaran arca simbolik TPO di Taman Persahabatan.